Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ibu bapa perlu mengurangkan keluhan, sebaliknya meningkatkan motivasi anak-anak mereka yang perlu menduduki semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akibat kebocoran soalan.

Pakar Psikologi Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata keadaan ini sudah semestinya memberi kesan mendalam dan menjejaskan emosi murid-murid yang terpaksa menghadapi peperiksaan itu buat kali kedua.

"Pada ketika ini, anak-anak mungkin berputus asa untuk menduduki UPSR, apatah lagi dengan subjek sukar seperti Matematik dan Sains dengan ibu bapa dan guru sekolah juga turut kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang menyusahkan semua pihak.

"Masa inilah ibu bapa dan guru perlu berganding bahu menggalakkan anak-anak supaya melakukan yang terbaik, kalau boleh jangan beri tekanan kepada mereka dengan latihan yang begitu banyak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya apabila isu kebocoran kertas soalan berlaku, sudah semestinya ia mengundang kemarahan pelbagai pihak, termasuk ibu bapa, guru serta calon-calon UPSR.

"Seboleh-bolehnya ibu bapa jangan menunjukkan emosi marah di hadapan anak-anak kerana perasaan itu akan menyekat kemasukan ilmu dan mengganggu proses pembelajaran anak-anak dalam menghadapi UPSR," kata Dr Mariani.

Pakar Motivasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Prof Madya Md Izuddin Md Ali pula berkata ibu bapa harus memberitahu anak-anak bahawa inilah peluang keemasan kepada mereka untuk membaiki kelemahan sebelum ini pada peperiksaan UPSR kali kedua.

"Mungkin pada peringkat permulaan murid-murid dan ibu bapa akan merasakan ia sangat membuang masa dan tenaga apabila perlu menduduki peperiksaan itu semula.

"Namun jika dilihat dari sudut positif, ia merupakan peluang keemasan kepada murid-murid yang sebelum ini mungkin tidak menunjukkan prestasi pada beberapa subjek yang mengalami kebocoran untuk membaiki semula kelemahan mereka dan membuat yang terbaik," katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya jangan membiarkan anak-anak mereka terlalu mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya menggalakkan mereka belajar dengan cara menambah ilmu pengetahuan.

"Hal ini terbukti apabila berlakunya kes kebocoran kertas ujian (UPSR), murid-murid berasa gelabah sehinggakan mengalami tekanan perasaan kerana selama ini mereka hanya belajar untuk mendapatkan gred 'A' dan bukannya bertujuan memperkayakan ilmu pengetahuan.

"Guru-guru juga perlu mengelakkan daripada meletakkan sasaran terlalu tinggi kepada murid-murid semata-mata untuk menaikkan ranking kecemerlangan sekolah," kata Md Izuddin.

Semalam, kertas ujian Mathematics 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), 035/1 (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) dan Bahasa Tamil 036, 037 yang berlangsung pada 10 Sept dibatalkan setelah disahkan bocor.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036, 037 adalah pada 9 Okt setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran).

Sebelum ini, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 ditangguhkan akibat dakwaan kebocoran.

Berikutan itu, Lembaga Peperiksaan menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS