Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Lantik Azmin bukti sultan berkuasa
Diterbitkan:  Sep 23, 2014 9:13 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 yang berkuatkuasa hari ini membuktikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkuasa menentukan siapakah individu yang diperkenan baginda untuk dipilih memegang jawatan berkenaan.

Penganalisis politik Md Shukri Shuib berkata pelantikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sewajarnya menginsafkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutunya.

"Tiada gunanya mengingkari titah Sultan. Meskipun PKR dan DAP sebelum ini berdegil, derhaka titah Sultan, ia tidak menjejaskan hak dan kuasa baginda dalam menentukan pemilihan Menteri Besar daripada kalangan parti yang mempunyai majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata Md Shukri, yang juga pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia kepada Bernama .

Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor menitahkan parti-parti dalam gabungan pakatan iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Baginda bagaimanapun amat dukacita selepas PKR dan DAP bertindak mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon Menteri Besar iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas pelantikan Mohamed Azmin, Md Shukri berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu sejak 2008 sememangnya ghairah mahu menjadi Menteri Besar dan ternyata beliau berjaya menggunakan kemelut politik yang melanda Selangor sebagai batu loncatan untuk merealisasikan impiannya.

Meskipun kedegilan PKR dan DAP yang mahukan Dr Wan Azizah menjadi Menteri Besar sebelum ini mendapat sokongan Azmin, jelas sekali elemen kesetiaan terhadap keputusan parti jelas tidak menjadi keutamaan kepada Azmin.

"Dalam konflik perebutan jawatan Menteri Besar Selangor, jelas kelihatan dalam Pakatan (PKR, DAP, Pas), elemen kesetiaan itu tidak penting di kala timbulnya konflik kuasa.

"Lihat sahaja apa yang berlaku kepada PAS apabila dua wakil rakyatnya ingkar kepada arahan kepimpinan PAS supaya tidak menyokong Dr Wan Azizah sehinggakan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa terdapat pihak yang memainkan peranan sebagai 'barua' dan 'broker' bagi membolehkan kedua-dua wakil rakyat itu menandatangani Akuan Bersumpah menyokong pencalonan Presiden PKR itu," kata Md Shukri.

Mengenai sama ada wujud kemungkinan Mohamed Azmin menerima nasib sama seperti Abdul Khalid, Md Shukri berkata pelantikan Mohamed Azmin merupakan suatu tamparan dan cabaran kepada PKR khususnya Anwar.

"Adakah PKR khususnya Anwar berani mengambil tindakan serupa terhadap Mohamed Azmin selepas beliau mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar, yang terang-terangan membelakangi keputusan parti yang sebelum ini mahukan Dr Wan Azizah dinobatkan sebagai Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid?" soalnya.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR pada 9 Ogos ekoran mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Dr Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu, namun tidak diperkenan oleh pihak istana.

- Bernama

Lihat Komen
ADS