Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS serah nama exco pada MB S'gor
Diterbitkan:  Sep 25, 2014 11:21 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata parti itu telah menyerahkan senarai nama calon exco PAS kepada Menteri Besar Azmin Ali untuk dipersembahkan kepada sultan Selangor.

Mustafa berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memilih nama calon exco itu selepas PAS Selangor menyerah mandat kepada PAS pusat berbuat demikian, lapor Harakahdaily .

Bagaimanapun dalam laporan itu juga menyebut, Mustafa enggan mendedahkan jumlah dan nama calon exco tersebut dan yakin "tiada perubahan besar berlaku".

"Pihak Presiden PAS sudah serahkan nama-nama tersebut kepada Menteri Besar malam tadi.

"Saya tiada masalah jika keempat-empat exco kita sebelum ini dikekalkan," katanya seperti yang dilapor portal berita itu.

Empat exco PAS itu sebelum ini Iskandar A Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Sallehen Mukhyi.

Laporan itu juga menyebut, Mustafa menyifatkan pihak yang mendesak supaya kuota exco PAS dikurangkan ekoran kemelut perlantikan menteri besar, sebagai 'tidak faham Pakatan'.

"Dia tak faham. Tidak mengapalah. Kita sudah serah kepada menteri besar," katanya dipetik.

Azmin akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini untuk mengemukakan nama 10 orang exco negeri.

Lihat Komen
ADS