Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco Kerajaan Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata pelantikan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang baru dalam barisan exco kerajaan negeri memberi "semangat baru" untuk mereka mentadbir negeri itu ke arah kesejahteraan.

"Dengan anggota (exco) baru, sudah tentu ada semangat baru untuk terus memperjuangkan kesejahteraan Selangor," katanya yang juga ADUN DAP Sungai Pinang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengangkat sumpah semula menjadi exco Selangor di Istana Alam Shah di Klang petang ini.

Menurutnya lagi, beliau juga "tiada masalah" dengan komposisi 4:3:3 yang memberi kelebihan kepada PKR kerana perkara itu pernah berlaku dalam penggal pelantikan sebelum ini.

"Saya rasa tidak ada masalah. Kalau kita lihat pada penggal pertama, 4:3:3 di mana PKR adalah 4. Pada penggal kedua, empat (4) itu adalah PAS.

"Sekarang kembali kepada PKR. Jadi ia pernah berlaku, bukan kali pertama PKR diberi empat kerusi. Jadi biasalah," katanya.

Beliau menganggap pemimpin yang tidak terpilih sebagai exco sebagai "adat" kerana pemimpin datang dan pergi dan adakalanya ada di antara mereka diberikan tugasan yang berbeza sama ada sedikit atau banyak.

"(Jadi) kita terimanya (sebagai) dalam gabungan politik," katanya.

"Mungkin akan datang DAP diberikan 4 (kerusi exco). Itu kita tidak dapat duga," katanya lagi.

Mengulas jumlah peruntukan kerusi exco, Teng berkata ia hasil perbincangan kepimpinan tertetinggi dengan Menteri Besar Azmin Ali dan beliau tidak terlibat dengan perbincangan itu.

"Sudah tentu perbincangan dan keputusan dibuat secara muafakat.

"Jadi, kami tidak terlibat, kami terima sajalah daripada pemimpin tertinggi parti," katanya.

Menurutnya lagi, jika beliau diberikan tugas untuk menyambung portfolionya sebelum ini, maka "banyak kerja dan tugas tunggakan" yang perlu diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, jika portfolio baru yang diamanahkan kepadanya, beliau "akan belajar dua tiga bulan" sebelum menjalankan tugas dengan baik.

"Dah tujuh minggu saya tak ada kerja, kalau saya balik ke portfolio asal, banyak kerja tunggakan, jadi terpaksa hadapilah.

"Kalau saya diberikan portfolio baru, saya kena belajar dua tiga bulan supaya dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Sementara itu, rakan sejawatnya Elizabeth Wong pula berjanji akan bekerja keras dengan Azmin untuk memastikan kemajuan negeri itu.

"Kami akan bekerja keras dengan YB Azmin Ali untuk memastikan (pentadbiran) negeri berjalan dengan baik," katanya.

ADUN Bukit Lanjan itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai titah sultan Selangor hari ini.

Lihat Komen
ADS