Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia berhasrat menyertai program pengecualian visa Amerika Syarikat dalam tempoh 18 bulan akan datang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata program itu akan membolehkan rakyat Malaysia memasuki Amerika Syarikat tanpa memohon untuk mendapatkan visa dan membolehkan mereka tinggal di negara itu bagi tempoh maksimum 90 hari untuk tujuan pelancongan atau perniagaan.

Setakat ini, 37 negara telah menyertai program itu termasuk negara-negara jiran iaitu Singapura dan Brunei, katanya kepada wartawan Malaysia di New York pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Ahmad Zahid berkata program itu dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama semasa pemimpin Amerika itu melawat Malaysia, April lalu.

Beliau berkata Malaysia memperbaiki pelbagai senarai semak termasuk menguatkuasakan langkah-langkah ketat seperti rakyat Malaysia yang kehilangan pasport mereka perlu melaporkannya dalam tempoh 24 jam.

Ahmad Zahid berkata program itu akan dapat meningkatkan lagi aliran pelabur, pelancong dan pelajar dari Malaysia ke Amerika, dan pemeriksaan keselamatan boleh dilakukan di Malaysia sebelum rakyat Malaysia memasuki Amerika.

Beliau juga berkata Malaysia akan mengubah keseluruhan sistem pemeriksaan keselamatan sempadan dalam usaha mengadakan pemeriksaan ketat termasuk mengesan mereka yang berada di dalam senarai suspek.

Ahmad Zahid juga berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Jeh Johnson di Washington D.C pada Ahad.

Beliau juga berkata Malaysia dan Amerika Syarikat telah meningkatkan kerjasama mereka dalam memerangi keganasan.

Ahmad Zahid berkata beliau berbincang dengan para pegawai kanan unit memerangi keganasan di sini berhubung aspek undang-undang dan operasi bagi menangani isu berhubung dakwaan bahawa Malaysia menjadi tempat latihan bagi pengganas rakyat Malaysia berjuang di Syria dan Iraq.

“Kami juga bertukar-tukar maklumat mengenai pembabitan rakyat Malaysia yang disyaki menjadi pengganas dan pengganas asing yang dikatakan menggunakan Malaysia sebagai pusat transit sebelum ke negara-negara lain," kata Ahmad Zahid.

Beliau juga mengesahkan bahawa 34 rakyat Malaysia telah menyertai kumpulan yang digelar Negara-negara Islam (IS) di Syria dan Yemen.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata Malaysia berusaha ke arah meningkatkan status Tahap 3 kepada Tahap 2 dalam menangani isu pemerdagangan orang.

Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang bagi tahun 2014 yang dikeluarkan pada 20 Jun lalu meletakkan Malaysia di Tahap 3 berbanding Senarai Pemerhatian Tahap 2 sebelum ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS