Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peperiksaan semula untuk pelihara kredibiliti

Peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi empat mata pelajaran yang soalannya bocor perlu dijalankan demi memastikan kredibiliti dan integriti ujian itu terpelihara.

Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan langkah itu dibuat selepas menerima pandangan beberapa pihak berkaitan isu peperiksaan ulangan bagi mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil.

"LP amat memahami kesukaran yang dihadapi semua pihak khususnya murid dan ibu bapa dan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelak perkara ini daripada berulang," kata kenyataan itu.

Ini termasuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kebocoran kertas soalan berkenaan.

Badan peperiksaan itu menjelaskan bahawa calon yang tidak menduduki semula peperiksaan UPSR 2014 bagi empat mata pelajaran itu tidak akan diberikan gred tetapi direkodkan sebagai 'T' iaitu 'Tidak Hadir' bagi mata pelajaran terbabit.

Ini selari dengan peraturan peperiksaan yang berkuat kuasa bahawa calon hendaklah menduduki semua kertas peperiksaan bagi setiap mata pelajaran berkenaan.

Lembaga Peperiksaan menetapkan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu untuk peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038.

Tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 ditetapkan pada 9 Okt.

Seramai 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS