Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gerakan akan meminda perlembagaannya bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan presiden parti itu kepada maksimum tiga penggal dalam persidangan perwakilan kebangsaan tahunannya bulan depan.

Presidennya Datuk Mah Siew Keong ( bawah ) berkata selain presiden, tempoh perkhidmatan pengerusi negeri juga akan terlibat dengan cadangan pindaan itu.

Beliau berkata cadangan awal adalah untuk mengehadkan jawatan itu kepada hanya dua penggal namun maklum balas daripada peringkat akar umbi memilih tiga penggal.

"Kami mengadakan perbincangan berhubung perkara ini dan 70 peratus perwakilan berpendapat tempoh dua penggal adalah terlalu pendek," kata Mah ketika merasmikan persidangan mesyuarat perwakilan Gerakan negeri Selangor di Petaling Jaya hari ini.

Cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan presiden diilhamkan Mah semasa menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden parti tahun lepas dengan tujuan untuk membolehkan parti kekal segar dan sentiasa mengikuti perkembangan politik di tanah air.

Persidangan perwakilan kebangsaan Gerakan tahun ini dijadualkan pada 18 dan 19 Okt.

Dalam perkembangan lain, Mah menggesa anggota parti supaya mengukuhkan perpaduan dan semangat kerjasama di kalangan mereka bagi memperkukuhkan parti.

Walaupun ada kemungkinan perbezaan pendapat di kalangan anggota parti, beliau menegaskan mereka perlu memberi sokongan padu kepada mereka yang dipilih memegang jawatan bagi membolehkan kerja-kerja parti dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Akta Hasutan yang begitu kontroversi itu perlu buat masa sekarang sehingga keputusan lanjut mengenainya dibuat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS