Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuba beri rasuah, warga S'pura dipenjara sehari
Diterbitkan:  Sep 30, 2014 3:18 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah cuba merasuah seorang pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tahun lalu.

    

Tan Choon Kiat, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

    

Pada 7 Mei tahun lalu, tertuduh didakwa cuba memberi rasuah pegawai SPAD, Asmadi Mat sebanyak 1,250 dolar Singapura (RM3,216) di sebuah restoran di Taman Daya di Johor Bahru pada pukul 4.10 petang sebagai dorongan untuk melepaskan dan tidak mengambil tindakan mahkamah terhadap sebuah bas persiaran yang disita

suruhanjaya itu.

Bas berkenaan telah disita SPAD selepas menurunkan penumpang di Tuas pada 25 April tahun lepas atas kesalahan menjalankan pengangkutan awam tanpa permit dan

mempamerkan permit palsu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan lelaki itu boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

    

Dalam rayuannya, Tan yang tidak diwakili peguam memohon dikurangkan hukuman dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu di masa hadapan.

    

Timbalan Pendakwaraya SPRM, Abd Ghafar Abd Latif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat khususnya warga Singapura bagi memastikan mereka sedar bahawa undang-undang negara ini tegas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS