Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda maut kereta dipandu rempuh pokok
Diterbitkan:  Sep 30, 2014 3:22 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Seorang pemuda maut selepas kereta Proton Waja yang dipandunya terbabas melanggar sebatang pokok kelapa sawit di Jalan Besar Jengka 23 dekat Maran, malam tadi.

    

Mangsa, Ning Shi Quan, 22, beralamat di Taman Seroja, Jerantut dan bekerja sendiri itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

    

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata nahas pukul 10 malam itu berlaku semasa mangsa memandu dari arah Jerantut menghala ke simpang Temerloh.

"Mangsa yang memandu sendirian itu menuju ke destinasi yang tidak diketahui dan sampai di tempat kejadian dalam keadaan hujan lebat menyebabkan keretanya tiba-tiba hilang kawalan," katanya hari ini.

    

Beliau berkata kereta mangsa kemudiannya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok kelapa sawit.

    

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama

Lihat Komen
ADS