Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peraturan baru selesaikan isu cermin gelap
Diterbitkan:  Oct 1, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Pengenalan peraturan baru cermin gelap yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyelesaikan isu cermin gelap yang timbul selama ini, kata Pengarah Urusan Driven Communications Sdn Bhd, Paul Tan.

    

Tan, yang juga penulis blog automotif terkenal paultan.org, berkata dengan pengenalan peraturan baru ini, tahap keselamatan kenderaan dapat ditingkatkan serta pemandu dan penumpang akan berasa lebih selesa.

    

"Kita tidak dapat pastikan bahawa peningkatan cermin gelap akan mengurangkan jenayah, tetapi sebarang langkah yang berpeluang meningkatkan tahap keselamatan ke atas sesebuah kenderaan adalah baik," katanya kepada Bernama semalam.

    

Beliau berkata pada masa sama, peraturan baru ini akan lebih memberi keselesaan kepada penumpang tempat duduk belakang kerana mengurangkan pendedahankepada cahaya matahari pada waktu siang.

    

Pengenalan peraturan baru ini menunjukkan keseimbangan yang baik antara keselesaan dan keperluan keselamatan terutamanya untuk pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan, katanya.

    

Kelmarin, JPJ mengumumkan akan melaksanakan penguatkuasaan peraturan baru berhubung penggunaan cermin gelap bermula 1 November depan.

    

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata pelaksanaan peraturan baru itu menetapkan kadar ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus.

    

Beliau berkata kadar VLT bagi cermin hadapan dan sisi pemandu pula masing-masing kekal pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.

    

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Dr Tam Weng Wah berkata keputusan penetapan kadar cermin gelap itu diperoleh hasil perbincangan antara pihak terlibat dalam Bengkel Kajian Semula Peraturan Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang berlangsung Jun lepas.

    

"Dari segi signifikannya, penetapan kadar cermin gelap ini dibuat berdasarkan permohonan daripada pengguna selain mengambil kira faktor keselamatan," katanya.

    

Beliau berkata penetapan terbaru ini adalah keputusan terbaik yang dapat dicapai dan sebarang maklum balas yang diterima selepas ini masih lagi boleh dipertimbangkan pihak JPJ untuk memperbaiki kelemahan di masa akan datang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS