Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tulang wanita ditemui dalam hutan di Juru
Diterbitkan:  Oct 1, 2014 7:20 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Beberapa ketulan tulang wanita yang dipercayai dibunuh, dikerat dan dibakar, ditemui di kawasan hutan di Kampung Datuk Keramat, Juru di Bukit Mertajam awal hari ini.

    

Tulang-tulang dengan kesan terbakar dipercayai seorang wanita berusia lewat 20-an itu ditemui dalam kawasan hutan berhampiran sebuah rumah yang didiami seorang lelaki dan dikatakan sering dikunjungi wanita berkenaan.

    

Unit forensik pada tengah hari ini mengesahkan tulang-tulang itu adalah milik manusia, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor.

    

Sehubungan itu, polis kini memperluaskan pencarian saki baki tulang wanita itu ke kawasan sungai berhampiran lokasi kejadian.

    

Turut berada di tempat kejadian ialah unit forensik, unit anjing pengesan (K-9) dan pasukan penyelam Pasukan Polis Marin (PPM).

Rusli berkata penemuan tulang kira-kira pukul 1 pagi itu berikutan maklumat daripada anggota keluarga lelaki terbabit yang mendakwa lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan melaporkan terdapat kesan darah di dalam rumah lelaki itu.

    

"Wanita itu dilapor sering ke rumah lelaki yang dikatakan kekasihnya itu dan kali terakhir dia dilihat ke rumah itu pada Isnin," katanya.

    

Beliau berkata keluarga lelaki terbabit membuat laporan polis apabila menemui baju dengan kesan darah serta kesan darah di dalam rumah itu selepas lelaki terbabit meninggalkan rumah berkenaan tanpa sepatah perkataan dan tidak menjawab soalan mengenai wanita itu.

    

"Setakat ini polis belum menerima laporan mengenai orang hilang dan kami juga sedang mengesan keluarga wanita yang hanya dikenali sebagai Intan itu untuk mengetahui di mana dia berada," katanya.

    

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau mengenali wanita berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Rusli berkata polis juga menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan tetap di sebuah rumah di Bandar Baharu, di Kedah pada pukul 4.45 petang untuk membantu siasatan dan difahamkan lelaki terbabit akan dibawa ke tempat kejadian.

    

Pakar Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) Datuk Dr Zahari Noor yang turut berada di tempat kejadian berkata tulang-tulang yang ditemui itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dianalisis dan dibuat ujian DNA untuk mengetahui milik siapa.

    

Sementara itu, saudara terdekat lelaki terbabit yang enggan namanya didedahkan berkata beliau diberitahu lelaki berkenaan berjalan keluar dari kawasan hutan yang terletak 200 meter dari rumahnya pagi semalam dengan membawa cangkul dan badan penuh lumpur.

    

Beliau berkata setelah mendapat tahu perkara itu, beliau dan isteri ke rumah lelaki terbabit dan mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan dan tidak membenarkan sesiapa masuk ke rumah.

    

"Ketika itu wanita yang kami kenal sebagai Intan itu tidak kelihatan tetapi motosikalnya berada di perkarangan rumah. Lelaki itu langsung tidak mahu bercakap dan isteri saya ternampak baju wanita berkenaan dengan kesan darah di luar rumah itu," katanya.

    

Beliau berkata lelaki terbabit melarikan diri dengan menunggang motosikal wanita berkenaan sebaik menyedari isterinya ternampak baju dengan kesan darah itu.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS