Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Azmin Ali menafikan dakwaan akaun Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi kawasan Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang yang diwakili Tan Sri Khalid Ibrahim dibekukan kerana bermotifkan dendam.

Sebaliknya, Azmin berkata, tindakan tersebut merupakan prosedur biasa yang dilakukan terhadap ADUN yang sudah lagi tidak menjadi ahli parti dalam Pakatan Rakyat.

Malah, katanya, Khalid juga sebelum ini pernah melakukan perkara sama kepada enam exco yang dipecat serta bekas ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah.

"Tak ada unsur dendam. Itu dasar yang digunapakai beliau (Khalid) sendiri. Semasa 2008, wakil (rakyat) kita daripada Pelabuhan Klang yang keluar parti itu dibekukan juga dan setelah enam exco dipecat, itu (bekukan akaun) dilakukan oleh Tan Sri Khalid.

"Saya tak tahu, ia diuruskan oleh pentadbiran. Tetapi program akan diteruskan dan penerima yang layak tetap terima bantuan," katanya kepada pemberita di lobi bangunan SUK di Shah Alam hari ini.

Ditanya sama ada beliau memusuhi Khalid, Azmin yang juga MP Gombak secara ringkas berkata: "Tak adalah. Dia sahabat saya."

Perkara itu turut dinafikan oleh seorang lagi bekas setiausaha politik Khalid, Azman Abidin, yang menjelaskan bahawa pembekuan akaun tersebut bukan atas arahan menteri besar.

Tindakan itu dijalankan memandangkan Khalid bukan lagi ahli parti dan menteri besar, katanya.

Pegawai khas Khalid, Faekah Hussin semalam mendakwa Azmin mengarahkan bendahari negeri Selangor membekukan akaun SMUE bagi parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang pada 25 September lalu.

Faekah turut menyifatkan tindakan itu sebagai "tindakan keras dan politik dendam" ke atas Khalid.

SMUE diperkenalkan oleh pentadbiran Khalid pada 2008 sebagai bantuan dan khairat kematian kepada keluarga warga tua yang meninggal dunia bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga.

Ia terbuka kepada semua warga Selangor atau rakyat yang lahir di Selangor termasuk Kuala Lumpur sebelum dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1974.

Lihat Komen
ADS