Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Naik harga bahan api, RHB Research unjur inflasi naik
Diterbitkan:  Oct 2, 2014 5:19 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Langkah kerajaan menaikkan harga runcit petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa hari ini akan menyebabkan tekanan peningkatan inflasi tetapi dalam keadaan terkawal, kata RHB Research.

    

Harga RON95 dinaikkan kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 seliter sebelum ini manakala diesel meningkat kepada RM2.20 seliter daripada RM2.00 seliter.

    

Firma penyelidikan itu mengunjur tekanan inflasi bertahan dalam suku keempat 2014, bagaimanapun, kesannya dijangka lebih senyap berikutan kesan asas tinggi dalam suku keempat tahun lepas.

    

Dalam nota penyelidikan hari ini, RHB Research berkata memandangkan kenaikan harga bahan api itu, ia mengunjurkan inflasi berada pada 3.0-3.4 peratus pada 2014, berbanding 2.1 peratus pada 2013.

    

Ia berkata unjurannya itu telahpun mengambil kira jangkaan satu lagi pusingan kenaikan harga bahan api.

    

Firma penyelidikan itu berkata meskipun kerajaan masih meneruskan cadangan skim subsidi bahan api disasar dan mengumumkannya dalam bajet akan datang, namun masih menjadi perbahasan sama ada ia patut meneruskannya.

    

"Oleh itu, kami menjangkakan bank pusat akan lebih berhati-hati dan menumpukan dasarnya mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.25 peratus untuk sepanjang tahun," kata firma itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS