Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Pada Julai 2005, di persidangan yang dilangsungkan di Amman, Jordan, al-Qaradawi membawa makalah berjudul "Al-ta'addudiyyah fi nazar al-Islam (Kemajmukan dari Perspektif Islam).

Dalam persidangan tersebut, yang turut dihadiri tokoh pemikir Islam termasuk Wahbah al-Zuhaili, Sa'id Ramadan al-Buti, Kamal Abu al-Majd dan lain-lain, tidak ada peserta yang mempersoalkan pemakaian kata al-ta'addudiyyah dalam konteks posisi dan persepsi Islam terhadap fenomena kepelbagaian.

Dalam temuramahnya dengan majalah al-Watan al-'Arabiy (bil 974, November 1995), al-Qaradawi mengatakan bahawa Islam menerima pluraliti agama (...yaqbalu bi al-ta'addudiyyat al-diniyyah) dalam pengertian menerima hakikat bahawa manusia memang menganut agama (al-'aqa’id) yang berbeza-beza.

Ini berlaku dengan kehendak Allah (Hud:118), dan Allah sendirilah yang akan menghisab segala yang diperselisihkan oleh manusia pada hari kiamat kelak (al-Hajj:69).

Seterusnya al-Qaradawi mengatakan bahawa Islam, di samping menerima pluraliti agama, juga menerima pluraliti budaya dan politik berasaskan hakikat bahawa berbeza-beza adalah sifat sejati kemanusiaan, malah alam ini seluruhnya berdiri di atas asas perbezaan-perbezaan (Fatir:27-28).

Dalam dunia perbukuan Arab masa kini, sudah ramai penulis Muslim yang menggunakan kata al-ta'addudiyyah sama ada pada judul buku atau dalam kandungannya.

Selain al-Qaradawiy yang menulis Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam (Dari Fiqh Kenegaraan dalam Islam) dengan sub-judul Makanatuha, Ma`alimuha, Tabi`atuha, Mawqifuha min al-Dimuqratiyyat wa al-Ta`addudiyyat wa al-Mar’at wa Ghayr al- Muslimin;

** Dr Muhammad 'Imarah menulis sebuah buku dengan judul Al-Islam wa Al-Ta'addudiyyah: Al-Ikhtilaf wa Al-Tanawwu' fi Itar al-wihdah (Islam dan Kemajmukan: Perbezaan dan Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan);

** Dr 'Imad al-Din Khalil menulis buku berjudul al-Wahdah wa al-Tanawwu` fi Tarikh al-Muslimin (Kesatuan dan Kepelbagaian dalam Sejarah Umat Islam) yang banyak menggunakan kata al-tanawwu’ dan al-ta`addudiyyah secara bertukar-ganti;

** Dandal Jabr menulis buku berjudul al-Ta'addudiyyah al-Siyasiyyah wa Tadawul al-Sultah fi al-Siyasat al-Shar’iyyah (Kemajmukan Politik dan Penggiliran Kuasa dalam Siyasah Syar`iyyah);

** Dr Muhammad 'Abd al-Rahman Balrawin dengan bukunya al-Ta`addudiyyat al-Siyasiyyat fi al-Dawlat al-Shuriyah (Kemajmukan Politik dalam Negara Syura) dan lain-lain.

Kemajmukan adalah fakta

Ternyata al-ta'addudiyyah atau kemajmukan adalah fakta dan kenyataan yang selamanya diterima dan diakui oleh Islam. Hanya al-Dhat al-Ilahiyyah sahaja yang Esa semutlaknya, sedang yang lain-lain berdiri atas sunnaniyyat al-ikhtilaf, sunnah dan hukum kepelbagaian.

Kepelbagaian atau kemajmukan dalam perspektif Islam bukan sekadar hak kemanusiaan, yang boleh diterima dan boleh ditolak; bukan juga sekadar budi bicara, yang boleh diberi dan boleh dinafi; tetapi ia adalah fitrah dan sunnatullah, undang-undang dan aturan Ilahi yang tidak berubah dan tidak mungkin berubah.

Namun demikian al-ta'addudiyyah tidak bererti perpecahan dan perbenturan, kerana semuanya tetap terpadu dalam wadah kesatuan.

Hakikat inilah yang dengan tepat diekspresikan oleh Dr Muhammad 'Imarah dengan ungkapan "al-ikhtilaf wa al-tanawwu' fi itar al-wihdah" (perbezaan dan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan).

Demikianlah hakikatnya: kepelbagaian makhluk dalam bingkai kesatuan Pencipta, kepelbagaian bangsa dan suku dalam bingkai kesatuan kemanusiaan, kepelbagaian syariat dalam bingkai kesatuan agama, kepelbagaian hukum dan fatwa dalam bingkai kesatuan syariat, kepelbagaian mazhab dan parti dalam bingkai kesatuan umat.

Islam menerima kemajmukan dalam pelbagai ranah kehidupan manusia: agama, budaya, politik, perundangan dan lain-lainnya. Islam menerima, menghargai dan menghormati manusia dalam segala kepelbagaiannya - bangsanya, bahasanya, agamanya dan budayanya.

Berbeza agama bukan alasan untuk bermusuhan. Justeru, seluruh umat manusia (yang berbeza-beza agama itu) tetap terangkai dalam warga besar kesatuan keinsanan.

Semuanya adalah anak-anak Adam yang dimuliakan oleh Allah (Al-Isra’:70). Kurnia kemuliaan dari Tuhan adalah untuk seluruh umat manusia (keturunan Adam) yang putih dan yang hitam, yang di darat dan yang di laut, yang Muslim dan yang bukan-Muslim.

Jenazah Yahudi

Bagi kita memuliakan manusia atas sifat kemanusiaannya, tanpa mengira agamanya, adalah suatu tuntutan keagamaan, bahagian daripada kewajipan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Jabir ibn `Abdillah bahawa Junjungan SAW berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi.

Mendengar ada suara yang menyebut itu adalah jenazah Yahudi! Rasulullah SAW spontan menjawab, “Bukankah ia satu jiwa manusia?". Demikianlah, setiap jiwa manusia (Muslim atau bukan Muslim) memiliki martabat kemuliaan yang harus dihormati.

Selain itu ada pula catatan dari Ibn Hazm tentang kematian ibu kepada al-Harith ibn Abi Rabi'ah, seorang yang beragama Kristian, bahawa jenazahnya dihantarkan ke perkuburan oleh para sahabah Rasulullah SAW.

Manusia, sebagai manusia tanpa mengira bangsa, agama dan budayanya, berhak mendapat hak asasi kemanusiaan. Mengenai hakikat universalnya hak asasi kemanusiaan, Fathi Osman mengatakan:

"Human rights are universal, and they apply equally to all human beings whatever their inborn or acquired differences may be. Through such a universal human perspective, the “other” is as equally human as you, be he/she of onother gender, race or ethnicity, faith, age, or ideology. The Qur’an emphasizes that all humankind was created from one couple: a male and a female, in spite of all their diversification into various peoples and tribes. They are meant to develop knowing and complementing one another through the diversity of human qualities and the diversity of the natural resources distributed among them in their homelands (Qur’an 49:13). (Osman, Fathi, 2001: 42).

Al-ta'addudiyyat al-Islamiyyah tumbuh dari kesedaran bahawa perbezaan manusia dalam beragama berlaku dengan kehendak Allah sendiri yang mengurniakan kebebasan kepada makhluk istimewa ini untuk memilih - menerima atau menolak (Al-Kahf: 29).

Kalau Tuhan menghendaki, Dia Maha berkuasa menjadikan seluruh manusia umat satu agama, tetapi kerana kehendak-Nya jua manusia berbeza-beza (Hud:118).

Setiap Muslim berkeyakinan bahawa kehendak Allah tidak dapat dihalang, sebagaimana ia juga berkeyakinan bahawa segala kehendak-Nya mengandungi hikmah kebaikan, sama ada manusia tahu atau tidak. Kerana itu seorang Muslim tidak berfikir dan tidak harus berfikir untuk memaksa manusia agar semuanya menjadi Muslim. (Yunus:99)

Al-ta'addudiyyah dalam Islam terbina di atas kesedaran bahawa orang Muslim tidak dituntut untuk menentukan nasib orang bukan-Muslim atas ketidakislaman mereka. Itu adalah urusan Tuhan yang akan diputuskan nanti pada Hari Perhitungan, bukan sekarang. Yang dituntut dari orang Islam adalah sikap istiqamah dengan agamanya sendiri, di samping memberikan pelayanan yang adil terhadap orang lain yang tidak seagama. (Al-Shura:15)

Urusan kita bukan memaksa

Dengan demikian orang Islam tidak mengalami sebarang dilema dalam melaksanakan keadilan dan melakukan kebaikan terhadap orang bukan Islam. Urusan kita bukan memaksakan Islam ke atas mereka.

Urusan kita adalah melaksanakan perintah Allah memberikan keadilan, bersikap ramah dan berakhlak mulia terhadap semua, termasuk yang bukan-Islam. Urusan kita adalah menentang kezaliman, tanpa mengira siapa pelakunya, termasuk kezaliman yang dilakukan oleh orang Islam ke atas orang bukan Islam. (Al-Ma’idah:8).

Memberikan pelayanan yang adil terhadap orang bukan Islam adalah amanah Tuhan dan Rasul-Nya ke atas kita semua. Kegagalan bersikap adil terhadap mereka adalah dosa yang membawa risiko berat sebagaimana yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW lewat sabda riwayat Ahmad dalam musnadnya:

Demikianlah secara umum sikap Islam terhadap pluraliti agama, sikap yang disemangati ruh al-samahah, jiwa toleransi yang tulus dan murni.

Yang diakui bukan hanya hak kebebasan menganut agama pilihan masing-masing, tetapi juga hak untuk mengamalkan ajarannya - melaksanakan kewajipannya dan menghindari larangannya.

Jika bagi Yahudi haram bekerja pada Sabtu, ia tidak boleh dipaksa bekerja pada hari tersebut. Jika bagi orang Kristian wajib ke gereja pada Ahad, maka ia tidak boleh dihalang melakukannya.

Seterusnya, umat Islam jangan menghalang orang bukan Islam melakukan sesuatu yang halal di sisi agama mereka, walaupun ia haram di sisi Islam. Yang penting harus ada kesediaan saling memahami sensitiviti masing-masing, dan jangan sampai berlaku paksa-memaksa.

Sebagai umat yang bertamadun dan berbudaya, semua pihak seharusnya memiliki kepekaan yang tinggi terhadap nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan.

Umat Islam khususnya harus dapat mengapresiasi dan menghayati kehalusan bahasa al-Quran terutama dalam sapaannya terhadap orang-orang bukan Islam.

Kepada mereka yang bukan Islam, al-Quran selalu menggunakan kata panggilan Ya ayyuha al-nas (wahai umat manusia) atau Ya bani Adam (wahai anak-anak Adam). Kata panggilan sedemikian memang terasa lebih lunak berbanding kata Ya ayyuha alladhina kafaru (wahai orangorang kafir) atau Ya ayyuha al-kafirun (wahai orang-orang kafir) yang tidak digunakan dalam al-Qur’an kecuali pada dua tempat (surah al-Tahrim:7 dan surah al-Kafirun:1).

Bhg 1: Menanggapi kemajmukan dalam Islam


DATUK DR SIDDIQ FADZIL presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Lihat Komen
ADS