Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MCA memutuskan untuk "tidak akan menjemput" Malaysiakini untuk membuat liputan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu hujung minggu depan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengesahkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu hari ini.

"Anda telah memutarbelit beberapa kenyataan di beberapa temubual

media beberapa pemimpin (kata jawatankuasa pusat), jadi mereka kata jangan jemput anda (untuk membuat liputan AGM)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut laporan berita yang dirujuk oleh jawatankuasa pusat itu.

Menurut Ahli Parlimen Tanjung Malim itu, jawatankuasa itu juga bersetuju untuk tidak menjemput beberapa media online yang lain membuat liputan AGM itu, tetapi beliau tidak menamakan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukan keputusan tetap dan MCA akan mengkajinya semula selepas AGM.

MCA akan mengadakan AGM pada 11 dan 12 Oktober ini.

Ini merupakan AGM MCA yang pertama selepas Datuk Seri Liow Tiong Lai dipilih sebagai presiden parti tahun lepas.

Sepanjang tempoh presiden sebelumnya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, MCA tidak pernah menghalang Malaysiakini membuat liputan mengenai AGM parti itu.

Sementara itu, Malaysiakini juga tidak dibenarkan menghadiri sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat jawatankuasa pusat MCA, walaupun telah dijemput untuk membuat liputan.

Setiausaha akhbar kepada Liow (kiri), Lim Chau Leng, sebaliknya memberitahu wartawan supaya menyiarkan laporan daripada agensi berita nasional, Bernama.

Bagaimanapun, Lim enggan mengulas apabila ditanya mengenai jemputan yang diterima Malaysiakini darinya, melalui kumpulan chat WhatsApp, untuk membuat liputan sidang akhbar itu.

Lim juga menolak permintaan wartawan ini untuk mendapatkan komen Liow mengenai keputusan tidak menjemput Malaysiakini membuat liputan mengenai AGM MCA, dengan berkata Liow menghadiri banyak mesyuarat.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS