Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan tidak bersikap pilih kasih dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu kesalahan mengandungi unsur hasutan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata keputusan untuk mengemukakan pertuduhan bagi mendakwa seseorang individu adalah berdasarkan keterangan serta fakta kejadian dan bukanlah atas desakan mana-mana pihak atau sebarang faktor lain.

Kerajaan, katanya, tidak mengambil kira latar belakang agama, kaum atau kecenderungan politik individu berkenaan asalkan ia menepati terdapatnya elemen hasutan pada setiap kesalahan yang dilakukan.

"Keputusan tersebut dibuat dengan adil tidak memihak kepada sesiapa dan berlandas kepada integriti bagi memastikan mangsa atau saksi memperoleh keadilan sewajarnya," katanya semasa menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Bung Moktar mencadangkan agar kerajaan menggubal serta memperkuatkan Akta Hasutan 1948 bagi membanteras individu yang mempunyai agenda berunsur hasutan bertujuan memecah-belahkan perpaduan, keharmonian serta mengganggu-gugat keselamatan negara.

Nancy berkata Akta Hasutan masih dalam proses pindaan serta kajian oleh Jabatan Peguam Negara kerana masih mendapat maklum balas dan proses 'engagement' dengan pihak yang mempunyai kepentingan dalam hal tersebut.

Katanya kuasa pendakwaan terletak kepada Jabatan Peguam Negara sepertimana termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

"Sejak dahulu lagi negara mengamalkan sistem pembahagian kuasa iaitu suatu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman. Keputusan dibuat tanpa campurtangan mana-mana pihak lain," katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata sesiapa sahaja yang didapati melanggar undang-undang atau cuba menimbulkan suasana tidak aman kepada negara akan didakwa berlandaskan undang-undang berkaitan.

"Tiada siapa dapat mengatasi undang-undang negara", katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS