Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Umno Tasek Gelugor menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dan tidak membenarkan pemaju swasta membangunkan kawasan tanah di Teluk Air Tawar yang menempatkan satu pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pemimpinnya, Mohd Nashrol Hisham Abdullah berkata, Najib perlu memberi jaminan bahawa pangkalan tersebut tidak akan dipindahkan.

“Kami sudah mengemukakan fakta kepada Datuk Seri Najib kira-kira tiga bulan lalu, sebab itulah kami berani bertanya mengenai keputusannya,” kata Mohd Nashrol.

"Jangan terus berdiam diri... Kami mahu dengar keputusannya. Adakah projek itu diteruskan atau tidak? Rakyat Tasek Gelugor menunggu jawapan anda,” katanya.

Mohd Nashrol merujuk kepada projek penukaran tanah bernilai RM13 bilion di antara TUDM dengan satu pemaju swasta – melibatkan tindakan TUDM menyerahkan tanah seluas 400 hektar di Butterwork untuk satu kawasan tanah dimiliki TSR Capital.

TSR, yang didakwa diberikan kontrak RM3 bilion untuk membina satu pangkalan udara baru di sebidang tanah di Ara Kuda, Lunas, mengumumkan kepada Bursa Malaysia pada Februari bahawa mereka mendapat kelulusan Putrajaya untuk membangunkan kawasan pengkalan udara tersebut melalui satu rundingan tanah.

Projek pelbagai kegunaan itu didakwa akan dibangunkan bersama di pangkalan udara lama Butterworth oleh TSR (pegangan 51 peratus), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (30 peratus) dan Pembinaan Bukit Timah (19 peratus).

Mohd Nashrol berkata sayap pemuda tersebut juga menentang sebarang usaha untuk menggunakan mana-mana tanah dimiliki Perda, satu agensi persekutuan untuk membina rumah mampu milik, bagi pembangunan swasta.

Difahamkan, tanah dengan keluasan antara 400 hingga 700 ekar milik Perda akan digunakan bagi tujuan ini.

Pergerakan itu juga mencadangkan agar pangkalan udara tersebut dinaiktaraf bagi meningkatkan pertahanan dengan menjadikannya satu pusat latihan.

“Tapak sedia ada itu sesuai untuk pertahanan dan kegunaan tentera. Sekiranya TUDM berpindah, ia akan menjadi kerugian kepada rakyat, terutama yang tinggal berhampiran Tasek Gelugor,” tambahnya.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS