Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Makkal Sakti anggap bajet sinar baru kaum India

Tohmahan pihak tertentu kononnya kerajaan meminggirkan masyarakat India di negara ini adalah tidak berasas apabila kerajaan mengumumkan pemberian pelbagai insentif kepada pembangunan masyarakat India dalam Bajet 2015, kata Presiden Makkal Sakti Datuk R.S. Thanenthiran.

Beliau yang juga pengasas parti tersebut berkata bajet dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari lepas, jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia termasuk masyarakat India.

"Masyarakat India akan menikmati kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

Ramai golongan India berada dalam kategori ini dan ia akan membantu memperkasakan taraf ekonomi mereka.

"Di samping mengumumkan peruntukkan tambahan kepada rakyat, Perdana Menteri juga telah memberikan beberapa peruntukan khas kepada masyarakat India dalam bidang pendidikan dan keusahawanan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Jumaat lepas, Najib mengumumkan peruntukan masing-masing sebanyak RM30 juta kepada usahawan wanita India di bawah program Amanah Ikhtiar Malaysia dan golongan belia India sebagai penyediaan latihan teknikal serta bantuan.

Najib turut memberikan peruntukan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil bagi tujuan membangunkan dan menyelenggarakan fasiliti pendidikan dalam aspek keselamatan serta persekitaran.

Thanenthiran berkata peruntukan baharu yang diberikan kepada usahawan wanita India akan membawa perubahan besar dan memberi peluang kepada wanita untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan kecil bagi menjana pendapatan manakala peruntukan RM50 juta akan memanfaatkan 524 buah SJK Tamil di seluruh negara.

Beliau menyifatkan Bajet 2015 sebagai usaha kerajaan membantu meringankan beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin mencabar sekali gus menyambung kesinambungan negara bagi mencapai kudrat Wawasan 2020.

"Saya juga berharap bajet ini membuka mata pihak-pihak tertentu yang sentiasa mengutuk kerajaan dan berhenti keluarkan kenyataan berbaur fitnah," katanya.

Thanenthiran berkata Makkal Sakti akan sentiasa bersama kerajaan bagi meneruskan agenda perjuangannya untuk pembangunan negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS