Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tukang masak maut dilanggar ketika lintas jalan

Seorang tukang masak dan anak tirinya maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di KM7 Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi, di Johor Baharu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata kejadian pada pukul 5.05 pagi itu menyebabkan Ellyas Salleh, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak tirinya, Juliah Alfiana Nasyirah Agi Kasumi, 4, meninggal dunia pada kira-kira pukul 12 tengah hari, di Hospital Sultanah Aminah, di Johor Baharu.

"Kedua-dua mangsa yang berjalan kaki dikatakan sedang melintas jalan dari arah Kampung Datuk Sulaiman Menteri menghala ke Taman Suria sebelum dilanggar oleh kereta jenis Proton Wira dari arah bandar raya Johor Baharu menuju Kota Tinggi," katanya di Johor Baharu hari ini.

Sulaiman berkata akibat pelanggaran itu, Ellyas seorang tukang masak di sebuah kantin sekolah mengalami kecederaan di kepala dan badan manakala anak tirinya mengalami kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata pemandu kereta terbabit, seorang lelaki berumur 39 tahun pula mengalami luka di tangan dan bahagian hadapan keretanya rosak.

Katanya siasatan setakat ini mendapati kedua-dua mangsa melintas jalan ketika lampu isyarat laluan kenderaan masih berwarna hijau.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS