Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memetik pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar dalam mempertahankan perselisihan antara Pakatan Rakyat dan Istana Selangor baru-baru ini.

MP Permatang Pauh itu yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata pemimpin Umno tersebut pernah menegaskan bahawa penubuhan parti itu untuk membebaskan Melayu daripada amalan feudalisme.

Anwar merujuk sindiran Perdana Menteri Datuk Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2015, bahawa Pakatan mengundang kemurkaan Istana Selangor apabila tegar menyerahkan satu nama untuk pencalonan menteri besar baru sebelum ini.

"Saya nak jelaskan perkara ini, sebabnya tidak mahu istilah murka ini disalah guna. Murka ini adalah apabila kita langgar, atau kita tidak hormat kepada raja.

"Saya belum keluar satu kenyataan yang mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu atau menghina raja dalam dewan atau luar dewan. Tetapi saya ingin ingatkan yang kita tegak dengan prinsip ini.

"Apabila Onn Jaafar ( atas ), seorang pemimpin kebangsaan dan pendiri Umno yang saya sangat hormati, menekankan bahawa penegasan dan hebatnya Umno itu kerana ia diasaskan untuk membebaskan dan memerdekakan minda dan negara ini daripada amalan kongkongan feudalisme.

"Itu datangnya daripada seorang tokoh bangsawan," kata Anwar ketika membahaskan Bajet 2015 di Parlimen hari ini.

Menurutnya lagi, Umno sendiri bertindak meminda Perlembagaan pada 1983 dan 1993 bagi melindungi institusi diraja daripada melakukan jenayah.

Sependapat dengan Dr M

Ia juga dilakukan bagi menghalang institusi itu daripada bercanggahan dengan Perlembagaan negara yang memberikan rakyat hak untuk memilih pemimpin.

"Yang kita pertahankan - baik BN atau Pakatan Rakyat adalah demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan," kata Anwar.

Menurutnya, dalam hal itu beliau sebenarnya sependapat dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, beliau tidak mahu membaca kembali ucapan Mahathir yang disifatkannya sebagai terlalu 'keras' terhadap institusi raja.

"Saya tak sanggup baca semula ucapan itu kerana nadanya begitu keras menyebut tentang ketelanjuran yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) menyoal Anwar sebab di sebalik keengganan Pakatan Rakyat untuk menurut permintaan istana Selangor agar menghantar tiga nama calon menteri besar untuk dipertimbangkan.

Noh yang juga pengerusi Umno Selangor berkata Pakatan tiada masalah berbuat demikian pada 2008 sewaktu menang pilihan raya di Perak.

Bagaimanapun, Anwar yang juga ketua umum PKR menjawab bahawa perkara tersebut adalah keputusan parti politik masing-masing dalam Pakatan Rakyat.

Lihat Komen
ADS