Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan kerajaan Pulau Pinang menghalang akhbar Utusan Malaysia membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menyumbang kemerosotan indeks kebebasan akhbar negara.

Beliau berkata demikian ketika membidas Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang merungut tentang Indeks Kebebasan Akhbar Negara (PFI) yag kurang memuaskan.

" Utusan tidak dibenarkan untuk membuat liputan sidang DUN Pulau Pinang.

"Ini turut menyumbang kepada kemerosotan indeks ini," kata Ahmad Shabery.

Beliau (BN-Kemaman) berkata demikian semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Nga sebelum itu mengkritik kerajaan yang didakwanya tidak menegakkan kebebasan bersuara sehingga menyebabkan negara berada pada tangga 147 daripada 180 negara dalam indeks PFI yang diterbitkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

Ahmad Shabery berkata pemimpin Pakatan kini boleh mendapat lebih masa muncul di kaca televisyen apabila kementeriannya melakukan siaran langsung sidang Dewan Rakyat.

Beliau turut mempersoalkan tahap patriotisme pemimpin DAP apabila mengungkit insiden Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) yang merungut tentang penyiaran lagu Negaraku dalam pawagam sewaktu bulan kemerdekaan.

"Inilah tahap patriotisme Kuching (Chong) dan partinya," kata Shabery.

FB blogger seks

Dalam satu sidang media di ruang legar Parlimen, MP Seremban Anthony Loke menjelaskan bahawa larangan ke atas Utusan di Pulau Pinang pada tahun 2011 ditarik balik pada 2013.

Sementara itu, Shabery sewaktu ditemui di ruang legar Parlimen turut menjelaskan bahawa soal permit penerbitan terletak bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Manakala, Bernama pula melaporkan Ahmad Shabery turut menjawab soalan asal Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) berhubung isu kebebasan media yang kini dilihat terpalit dengan penyebaran maklumat melampaui batas.

    

Ahmad Shabery menarik perhatian bahawa sejak Januari hingga Ogos lepas, 1,225 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai salah guna media sosial.

    

Menurutnya, didapati hanya 0.006 peratus kes penyalahgunaan media sosial direkodkan sepanjang tempoh itu, jumlah yang sangat kecil berbanding 19.2 juta pengguna Internet di negara ini.

    

Sambil berkata bahawa keadaan memang terkawal, beliau menegaskan kerajaan tetap memandang serius kes pencabulan kebebasan pengaliran maklumat seperti yang dilihat dengan tindakan susulan diambil terhadap aduan yang dikemukakan.

"Sehingga Ogos lepas, SKMM meminta penyedia perkhidmatan menutup 1,400 akaun laman sosial yang dianggap tidak sesuai dan terlibat dari segi penyalahgunaan," kata Ahmad Shabery.

    

Kepada soalan tambahan Noh berhubung catatan akaun Facebook milik blogger seks Alvin Tan yang kini dikatakan berada di luar negara dan mencabar polis menangkapnya, menteri itu berkata kerajaan menghadapi kesukaran bertindak kerana undang-undang tempatan tidak terpakai di negara luar.

    

"Akaun Facebook tersebut juga dikendalikan di sana, kita telah meminta penyedia perkhidmatan FB menutup akaunnya namun ia bergantung kepada (pengendali) FB sama ada bersetuju menutupnya atau tidak, ia bukan hak kita," jelasnya.

Lihat Komen
ADS