Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Angkatan Muda Keadilan melancarkan kempen selama 14 hari bermula hari ini bagi menunjukkan solidariti terhadap Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat II.

Ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kemuncak kempen yang bertemakan 'Rakyat Hakim Negara' itu akan diadakan di Putrajaya pada 28 Oktober depan.

Antara program kempen itu ialah flashmob, edaran risalah, ceramah di seluruh negara dan juga kempen melalui media sosial.

"Siri ceramah ini juga akan dijalankan bersama Anwar Ibrahim di beberapa lokasi di seluruh negara yang akan dimaklumkan kelak.

"Kemuncak kempen Rakyat Hakim Negara adalah ceramah perdana yang bakal berlangsung di Istana Kehakiman Putrajaya pada 28 Oktober," katanya.

Beliau yang juga ADUN Seri Setia berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Ditanya sama ada kempen tersebut akan diteruskan sekiranya Anwar dijatuhi hukuman, Nik Nazmi berkata mereka telah bersedia dengan segala kemungkinanan.

Malah, beliau yang juga exco Selangor turut meminta orang ramai untuk hadir pada 28 dan 29 Oktober bagi menunjukkan solidariti terhadap Anwar.

"Kita bersedia dengan segala kemungkinan. Ia bukan sahaja kes ini semata-mata tetapi kes ini juga sebagai satu pencetus kepada isu-isu yang kini dihadapi rakyat," katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Oktober depan untuk mendengar rayuan Anwar bagi mengenepikan sabitan dan hukuman bagi tuduhan Liwat II dan rayuan balas pihak pendakwa untuk menambah hukuman itu.

Lihat Komen
ADS