Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kepimpinan baru PKR, dengan Rafizi Ramli sebagai setiausaha agungnya, mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membawa parti ke hadapan, dan ini termasuk menambah baik sistem pemilihan parti, membaiki hubungan dengan PAS dan meningkatkan sokongan orang Melayu.

 

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata Rafizi yang juga naib presiden PKR, mesti melihat kecacatan dalam parti dan sistem pemilihan yang sarat dengan kontroversi.

PKR hanya menjangkau usia 15 tahun tetapi telah mengharungi dua pemilihan parti yang dramatik.

 

"Rafizi perlu memainkan peranan yang lebih besar tentang bagaimana untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan sumber dan keahlian dalam parti. Salah satu isu terbesar yang kita  hadapi dalam pemilihan parti, ialah keahlian.

 

"Beliau mesti mempunyai pasukan yang baik untuk membantunya. Kita mesti terus menjadi parti yang paling demokratik di negara ini," katanya, dengan pemilihan pemimpin secara langsung tetapi sistemnya boleh diperbaiki dan diubahsuai.

Katanya, parti itu akan menghadapi pemilihan menjelang pilihan raya umum ke-14 (yang dijangka pada 2018).

Oleh itu, tiada salahnya untuk bercakap mengenainya sekarang,  kata ketua Pemuda PKR Pulau Pinang itu, yang juga ahli exco termuda dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

 

Pada hari Isnin, presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pelantikan Rafizi sebagai setiausaha agung yang baru, menggantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin akan menggantikan Rafizi sebagai pengarah strategi PKR.

 

Pemilihan PKR tahun ini - yang berlarutan selama lima bulan - penuh dengan tuduhan penyelewengan dan penipuan, insiden keganasan, manakala keputusan pemilihan di beberapa cawangan digantung, dan 26 lagi terpaksa mengadakan pemilihan semula.

 

Afif juga berkata kepimpinan baru juga perlu membincangkan strategi untuk memenangi sokongan orang Melayu, dan bagaimana untuk menarik pengundi muda untuk mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU-14.

 

Rafizi dan pasukannya harus merancang untuk memperbaiki hubungan dengan rakan sekutunya PAS dan mengukuhkan perpaduan dengan DAP, dan kedudukan parti dalam Pakatan, terutama selepas krisis menteri besar Selangor.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS