Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dua MP DAP dari Sabah menggesa kerajaan supaya agar kontrak membina lebuh raya merentasi Borneo, Pan Borneo Highway dilakukan menerusi tender terbuka.

Lebih raya itu menelan belanja RM27 bilion meliputi 1,633km merentasi Sabah dan Sarawak.

Jimmy Wong Sze Phin (DAP-Kota Kinabalu) dan Stephen Wong (DAP-Sandakan) membuat gesaan itu dalam sidang media di ruang legar Parlimen hari ini.

Gesaan itu dibuat selepas mereka mendakwa menerima maklumat yang syarikat dari Semenanjung, UEM-MMC merupakan antara syarikat yang dijangka bakal memenangi kontrak itu.

Mereka menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membuka tender untuk membina lebuh raya itu yang melibatkan negeri Sabah.

Kedua-dua MP itu turut mencadangkan agar syarikat yang mahu membida kontrak itu disyaratkan mestilah syarikat dari Sabah.

'Kutip serdak'

"Kami tidak mahu syarikat-syarikat Sabah untuk mengutip serdak dari meja dengan menjadi subkontraktor kepada syarikat Semenanjung Malaysia yang akan mengaut keuntungan dari kontrak itu," kata Jimmy Wong.

Mengulas lanjut, mereka tidak rela jika syarikat dari Semenanjung Malaysia mengaut keuntungan dari Sabah - negeri termiskin di Malaysia.

"Kami tak mahu orang Sabah mengalami nasib yang sama dengan membayar tol seumur hidup mereka terutamanya memandangkan Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia," kata Jimmy.

Mereka turut menggesa Najib agar menghentikan segera sebarang rancangan untuk menandatangani projek itu dan menuntut agar perincian kos dan pembayaran yang telah dibuat didedahkan kepada umum.

Pada masa sama, mereka mahu kerajaan Persekutuan membiayai keseluruhan kos untuk membina lebuh raya tersebut.

"Saya harap kerajaan Persekutuan akan membiayai keseluruhan projek Pan Borneo Highway ini," kata Jimmy Wong.

Lihat Komen
ADS