Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengharap agar Pemuda PAS dan DAP turut serta bagi menunjukkan solidariti pada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rayuan sabitan kes liwat II pada 28 dan 29 Oktober depan.

Naib Ketua AMK Mohd Radzlan Jalaludin berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara Pemuda ketiga-tiga parti gabungan Pakatan itu berhubung perkara tersebut.

Katanya, walaupun ia merupakan tugas Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengadakan pertemuan bersama Pemuda Pakatan, namun beliau berharap mereka dapat turut serta pada hari pendengaran rayuan Anwar berhubung kes liwatnya itu.

"Kita memang harap mereka hadir. Mereka kawan kita. Ini peluang untuk kukuhkan lagi hubungan antara Pemuda Pakatan," katanya ketika ditemui selepas sidang media di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya hari ini.

Sebelum itu, pada sidang medianya, Razlan yang juga ketua mobilisasi bagi kempen yang bertemakan 'Rakyat Hakim Negara' berkata, AMK Selangor menyediakan 300 anggotanya sebagai skuad keselamatan yang berperanan mengawal keadaan dan keselamatan orang ramai yang akan hadir pada hari tersebut.

Malah, beliau turut menyeru kepada anak muda di seluruh Selangor supaya hadir di Istana Kehakiman pada hari pendengaran rayuan kes liwat Anwar.

Katanya lagi, pihaknya juga bersedia terhadap segala kemungkinan yang berlaku sekiranya Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan.

"Apa-apa kemungkinan yang akan berlaku kita hadapi secara aman dan profesional dan tidak akan mendatangkan perkara yang tidak baik. Apapun kami memberi harapan tinggi supaya Anwar dilepaskan," katanya.

Selasa lalu, AMK melancarkan kempen selama 14 hari bagi menunjukkan solidariti terhadap Anwar.

Kemuncak kempen yang bertemakan 'Rakyat Hakim Negara' itu akan diadakan di Putrajaya pada 28 Oktober depan.

Antara program kempen itu ialah flashmob, edaran risalah, ceramah di seluruh negara dan juga kempen melalui media sosial.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Oktober depan untuk mendengar rayuan Anwar bagi mengenepikan sabitan dan hukuman bagi tuduhan Liwat II dan rayuan balas pihak pendakwa untuk menambah hukuman itu.

Lihat Komen
ADS