Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengenal pasti mekanisme bersesuaian bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida daripada penjanaan elektrik menggunakan arang batu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata antara teknologi yang dikenal pasti ialah 'Clean Coal Technology' yang diguna pakai di semua loji janakuasa berasaskan arang batu di negara ini.

"Malah, saya difahamkan stesen janakuasa baharu berasaskan arang batu yang dalam pembangunan akan menggunakan teknologi lebih canggih yang diiktiraf sebagai mematuhi piawaian iaitu Ultra Supercritical Clean Coal Technology," katanya dalam ucaptama sempena Anugerah Kecemerlangan KeTTHA 2014 di Kuala Lumpur, malam ini.

Teks beliau dibacakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili.

Muhyiddin berkata sektor tenaga negara kini berdepan cabaran baharu termasuk mencari kaedah dan mekanisme ke arah pembangunan lebih mampan serta penjanaan tenaga elektrik lebih mesra alam.

Beliau menarik perhatian bahawa penggunaan arang batu sebagai satu daripada sumber bahan api utama dalam penjanaan elektrik di Malaysia dijangka meningkat daripada 42 peratus kepada 58 peratus menjelang 2020.

Bagaimanapun, katanya kebergantungan berlebihan itu sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada komitmen Malaysia untuk mengurangkan 40 peratus intensiti karbon menjelang 2020.

"Inilah cabaran yang dihadapi oleh negara-negara sedang membangun dalam mengimbangi di antara kos penjanaan tenaga elektrik dan pemeliharaan alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga sedang mengkaji beberapa teknologi mesra alam lain seperti Carbon Capture and Storage (CCS), Integrated Gasification Combined Cycle (IGCC) dan tenaga nuklear.

Katanya KeTTHA sebagai peneraju utama juga sedang memuktamadkan hala tuju kecekapan tenaga (EE) melalui penggubalan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional (NEEAP) dengan mengambil kira input dan maklum balas daripada pihak industri.

"Pelan ini, antara lain bertujuan memudah cara serta memacu pembangunan sektor EE ke tahap lebih tinggi," katanya sambil mempelawa pihak berkenaan mengemukakan cadangan kepada KeTTHA bagi menambah baik pelan tindakan itu.

Muhyiddin berkata kerajaan komited untuk memastikan industri teknologi hijau terus berkembang, termasuk dengan memberi pengecualian cukai dan kemudahan pinjaman kepada pemain industri.

Ia meliputi pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) ke atas produk hijau yang menerima pengiktirafan MyHIJAU Mark; pengecualian cukai ke atas kos untuk mendapatkan pensijilan produk dan perkhidmatan hijau; serta kemudahan pinjaman mudah bagi solar PV melalui Green Technology Financing Scheme (GTFS).

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri berkata kerajaan sedang menimbang pemberian insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan bagi menyemarakkan penggunaan dan pengeluaran produk serta perkhidmatan hijau dalam kalangan industri kecil dan sederhana di Malaysia.

Pada majlis itu, Kumpulan Melaka Berhad memenangi kategori Anugerah Kecemerlangan Tenaga, Harta Maintenance Sdn Bhd menerima Anugerah Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Syarikat Air Melaka Berhad memenangi Anugerah Kecemerlangan Air.

- Bernama

Lihat Komen
ADS