Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki sakit mental tetak abang ipar
Diterbitkan:  Oct 20, 2014 9:36 AM
Dikemaskini: 6:01 AM

Seorang lelaki, dipercayai mengalami masalah mental, ditahan polis selepas menetak kepala, badan dan tangan abang iparnya dengan sebilah parang panjang di sebuah rumah dekat Permatang Pauh di Pekan hari ini.

    

Polis turut merampas senjata berkenaan daripada suspek berusia 35 tahun itu, kata Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman.

    

Beliau berkata suspek sudah dua kali ditahan di Wad Dahlia Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan mental.

    

Menurutnya dalam kejadian kira-kira 1.40 petang itu, suspek berang setelah melihat abang iparnya, Roslan Abdullah, 40, memarahi kakaknya sebelum tiba-tiba bertindak menyerang dan menetaknya dengan parang.

    

"Mangsa yang cedera teruk terpaksa berlari ke rumah jiran berhampiran untuk meminta bantuan sebelum dikejarkan ke Hospital Pekan bagi mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita semalam.

Yahya berkata sebelum kejadian itu, mangsa yang bertengkar dengan isterinya telah ditegur suspek supaya jangan bergaduh.

    

Bagaimanapun, teguran suspek tidak diendahkan mangsa menyebabkan suspek berang lalu masuk ke dalam sebuah bilik dan mengambil parang sebelum menyerang mangsa.

    

Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri selepas menerima lebih 20 jahitan di kepala, badan dan tangan akibat tetakan itu.

    

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan  mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Bot pemancing karam

Sementara itu di George Town, dua pemancing melalui detik-detik cemas selepas bot fiber yang dinaiki mereka bocor hingga hampir karam di kawasan perairan Jambatan Pulau Pinang semalam.

    

Dalam kejadian pukul 2.50 petang itu, Abdul Malek Ramli, 35, dan rakannya Mohamad Rozaini Ishak, 35, menaiki bot berkenaan di Teluk Kumbar, dan menghala ke Jambatan Pulau Pinang untuk memancing di kawasan berkenaan.

    

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Kapten Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata Mohamad Rozaini yang menyedari bot berkenaan bocor memaklumkan kepada rakannya sebelum mereka terjun ke dalam laut.

    

"Mereka berenang ke kawasan batu di tiang nombor 28 Jambatan Pulau Pinang sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan.

   

"Selain APMM, pasukan polis Marin dan pihak bomba turut memberi bantuan untuk menyelamatkan dua mangsa berkenaan," katanya di sini.

    

Kamaruszaman berkata kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke jeti polis Marin di Batu Uban dan bot berkenaan turut ditunda.

Warga emas rentung

 Di Ipoh, seorang warga emas ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan tiga rumah setingkat di Kampung Baru Bukit Merah, Pasir Puteh semalam.

    

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Zainasrie Zainal berkata, Thoo Nyuk Min, 64, ditemui hampir rentung di pintu hadapan rumahnya dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu.

    

"Mangsa tinggal bersendirian dan menurut saksi,  mangsa dilihat  keluar dari rumahnya tetapi berpatah balik," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

     

Katanya kebakaran itu dipercayai berpunca dari rumah mangsa sebelum merebak ke dua rumah lain.

"Tiga rumah mengalami kemusnahan teruk, namun dua keluarga yang mendiami dua buah rumah tersebut tidak mengalami kecederaan," katanya.

    

Beliau berkata seramai 21 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Pasir Puteh dikerahkan ke tempat kejadian.

    

Kanak-kanak lemas ditemui

Sementara itu di Johor Bahru, mayat dua kanak-kanak perempuan, yang lemas ketika mandi di sebuah tasik di Taman Nusa Damai, Masai di Johor Bahru ditemui malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Abdul Samad Salleh berkata mayat Nurdiana Nurhassan, 11 dan Yunis anak Simol, 10, ditemui pasukan penyelamat pada jam 10.20 malam.

    

Mayat mereka dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Bernama.

   

Sementara itu jurucakap Bomba dan Penyelamat Johor berkata mayat berkenaan ditemui oleh lima anggota penyelam skuba.

    

Nurdiana dan Yunis yang tinggal di Taman Scientex, di sini mandi di tasik berkenaan, yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.

   

- Bernama

Lihat Komen
ADS