Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ulama dakwa acara pegang anjing hina Islam
Diterbitkan:  Oct 20, 2014 1:22 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadut menasihatkan umat Islam tidak mencipta budaya bercanggah dengan Islam dan mempunyai unsur menghina ulama.

Beliau mengulas penganjuran program menyentuh anjing - I Want To Touch a Dog - semalam.

Beliau menegaskan haram menyentuh anjing dengan sengaja kerana ia najis mughallazah (najis yang berat) yang dipandang serius oleh mazhab Shafie dan Hanbali.

"Perkara ini dilarang kerana tiga perkara iaitu agama, kesihatan dan budaya yang bercanggah dengan Islam.

"Perlu diingat di Malaysia kita berpegang teguh kepada mazhab Shafie.

"Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan mazhab Shafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini.

"Usahlah menjadi hero dengan menimbulkan pendapat terpencil yang tidak boleh digunapakai.

"Alasan fuqaha (ahli fekah) mengenai membela anjing cukup jelas iaitu ia akan menakutkan tetamu, berkurangan pahala satu qirot (satu qirot bersamaan bukit Uhud di Madinah), malaikat rahmat tidak memasuki kediaman dan tabiat anjing suka menjilat.

3 alasan boleh bela anjing

"Imam al-Nawawi menyatakan tiga alasan membolehkan membela anjing iaitu menjaga tanaman, ternakan dan berburu," katanya seperti dilaporkan Berita Harian ini.

Akhbar itu turut memetik Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata pihak berkuasa agama perlu memberi perhatian dan menyiasat tujuan penganjuran program itu yang dianggapnya bertentangan dengan pegangan umat Islam.

Laporan itu menyebut, beliau menasihatkan umat Islam tidak seharusnya mengambil mudah mengenai perkara itu dan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu jika ingin membuat sesuatu yang bercanggah dengan mazhab Shafie.

Sementara itu, Utusan Malaysia hari ini melaporkan Mufti Selangor Datuk Tamyes Abdul Wahid mempersoalkan objektif penganjuran kempen itu dan jika kempen itu menjurus kepada fahaman liberalisme, maka ia perlu ditolak.

"Kita memahami anjing adalah juga makhluk Allah tetapi bezanya anjing dan babi adalah daripada kumpulan haiwan yang boleh menyebabkan najis berat. Bukan ertinya kita jangan pegang tetapi atas dasar apa? Apakah ingin pegang seperti kucing dan ayam.

"Apa motifnya penganjuran kempen tersebut? Kalau untuk menjadi penjaga rumah, kita belai atas dasar sama-sama kering tidak mengapa kerana untuk menyatakan terima kasih tetapi kalau bawa masuk rumah, ke bilik dan mandi, itu saya tidak setujulah," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Manakala pemimpin muda PAS pula berkata ada program yang lebih baik daripada kempen menyentuh anjing.

Antaranya membelai anak yatim, membelai hajar aswad di Kaabah, kempen belajar menyapu khuf mengganti membasuh kaki ketika berwuduk atau kempen menyayangi pasangan suami isteri.

'Tak munasabah'

"Dalam Al-Quran pun Allah menceritakan kisah 'Ashabul Kahfi' yang bersama-sama dengan anjing peliharaan mereka. Pengajarannya bukan supaya kita membelai anjing dalam kehidupan kita tetapi anjing pun membantu perjuangan Islam dengan caranya tersendiri," kata Muhammad Khalil Abd Hadi.

"Mungkinkah program membelai anjing untuk mengatasi masalah rakyat yang stress akibat kenaikan harga minyak? Entahlah...," kata timbalan ketua Pemuda PAS itu lagi dalam satu kenyataannya.

Sementara MP Temerloh Nasrudin Hassan pula berkata kempen menyentuh anjing "tidak munasabah" di kalangan orang Islam, walaupun Islam membenarkan untuk menyentuh anjing jika ada keperluan seperti tujuan menyelamat atau merawat dan sebagainya. 

Ahli jawatankuasa PAS pusat yang berpendidikan Islam dari Universiti Al-Azhar berkata hukum mengotorkan diri dengan sengaja tanpa sebab adalah haram memandangkan Islam adalah agama yang bersih.

"Seperti kita bertemu tahi (najis mutawassitoh - sederhana), lalu tanpa sebab dan keperluan kita menyentuh dan mengotorkan diri dengan najis itu maka perbuatan itu hukumnya haram dan wajib segera membasuh dan membersihkan diri.

"Sementelah lah, mengotorkan diri dengan najis yang berat (mughallazoh). Namun dalam kes menyentuh anjing ini, jika sama-sama kering (antara kita dan anjing), hukumnya tidak najis.

"Apabila tidak najis maka tidaklah berlaku perpindahan najis kepada diri kita dan hukumnya tidak haram," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Bersetuju dengan Nooh bahawa Islam membenarkan anjing dipelihara pada tujuan tertentu, Nasrudin bagaimanapun berkata selain dari tujuan itu, maka ia sangat tidak digalakkan bahkan haram jika dengan sengaja memindahkan najis berat itu kepada diri, pakaian, tempat kediaman, apatah lagi tempat ibadah.

Lihat Komen
ADS