Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanah runtuh, 1,500 penduduk dipindahkan
Diterbitkan:  Oct 21, 2014 8:31 AM
Dikemaskini: 8:56 AM

Kira-kira 1,500 penduduk Apartmen Teratai, Taman Bukit Raya dekat Bukit Beruntung dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Bunga Raya ekoran kejadian tanah runtuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu Noor Azhar Tajudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi sebelum tiba di lokasi pada jam 11.20 pagi.

    

"Siasatan awal mendapati berlaku pergerakan tanah runtuh kira-kira 15 meter dari kawasan perumahan. Demi keselamatan penduduk kami mengarahkan penduduk apartment itu berpindah sementara ke Sekolah Kebangsaan Bunga Raya," katanya kepada Bernama.

    

Beliau berkata penduduk perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga hari bagi mengetahui keputusan yang dibuat Jabatan Kerja Raya sama ada selamat atau tidak untuk mereka tinggal di situ.

    

"Kami tidak boleh jangka bila mereka akan dibenarkan balik ke kediaman masing-masing kerana ia memerlukan masa untuk menyiasat dan mengenal pasti akan keselamatan kawasan itu selepas berlakunya tanah runtuh," katanya.

    

Azhar berkata ketika ini pergerakan tanah masih lagi berlaku dan pemantauan terus dijalankan. - Bernama

Penduduk diminta bersabar

Sementara itu Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad berharap penduduk terbabit bersabar kerana pemindahan mereka ke pusat penempatan sementara adalah untuk keselamatan mereka sendiri.

"Kejadian tanah runtuh yang berlaku semalam boleh mengancam Apartment Teratai Blok K dan L. Kejadian ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa. Tanggungjawab ini telah diserahkan kepada pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Buat masa ini, seramai lebih 500 penduduk telah dipindahkan ke 3 pusat penempatan sementara iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pergerakan tanah juga telah berlaku sebanyak dua kali pada awal pagi tadi dan dibimbangi jika ianya berterusan akan memberi kesan kepada blok-blok itu.

Kerajaan negeri, katanya,  akan memastikan kebajikan penduduk yang terlibat dengan menyediakan makanan dan selimut.

"Penduduk yang terlibat dinasihatkan supaya tidak pulang ke rumah masing-masing untuk sementara waktu. Sekiranya mereka ingin pulang ke rumah untuk mengambil barang-barang mereka, mereka hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

"Bagi penduduk seperti warga emas, pesakit dan kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas, mereka hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya.

"Kerajaan negeri sedang memastikan kediaman penduduk yang terlibat betul-betul selamat sebelum mereka boleh pulang ke rumah masing-masing kelak.

"Walau bagaimanapun kerajaan negeri mempunyai lebih 100 unit  kediaman di Projek Perumahan Rakyat di Serendah yang boleh disewa kepada orang ramai," tambahnya.

Lihat Komen
ADS