Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Ahli politik dibiayai perjudian haram
Diterbitkan:  Oct 21, 2014 8:11 AM
Dikemaskini: 5:15 AM

Terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu Pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun tidak terlibat secara langsung tetapi ada ahli politik yang dikesan dibiayai dengan hasil pusat perjudian haram tersebut.

    

"Tidak ada ahli politik yang terlibat secara langsung tetapi mungkin ada yang memperolehi wang daripada pendapatan hasil perjudian itu untuk melakukan kegiatan politik.

    

"Berdasarkan laporan yang saya perolehi ada ahli politik yang terlibat... saya tidak mahu menuduh, tetapi jika mahu pembuktian pihak polis ada bukti," katanya kepada pemberita di di Putrajaya semalam.

    

Beliau berkata dalam masalah perjudian atau kegiatan jenayah sepatutnya mana-mana ahli politik tidak bersekongkol dengan individu atau pertubuhan haram.

Ahmad Zahid diminta mengulas laporan akhbar mengenai kegiatan perjudian di tiga kawasan berkenaan yang dikatakan kebal untuk ditembusi pihak berkuasa.   

Sehubungan itu, beliau berharap pihak parti politik dapat mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya yang terlibat dibiayai dengan kegiatan perjudian haram.

"Kami juga mohon kerjasama orang ramai, bukan sahaja melaporkan tetapi bersama-sama mengambil tindakan dengan pihak berkuasa, kerana apa yang berlaku sekarang bila ada permintaan maka adalah penawaran," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan Kelab Motosikal dariSeluruh Negara sempena Karnival Pertubuhan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)yang akan diadakan pada bulan hadapan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata penunggang motosikal berkuasa tinggi perlu mempunyai garis panduan untuk menunggang bagi mengelakkan kemalangan.

    

Garis panduan itu perlu sebagaimana terdapat di negara-negara maju di dunia, kata beliau mengulas mengenai kemalangan yang meragut nyawa dua penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Karak kelmarin.

Menteri itu melahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terlibat dalam kemalangan itu.

Dalam kemalangan semalam, dua peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Bukit Lintang, Melaka Tengah maut manakala dua lagi rakan mereka parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di KM26.4 Lebuhraya Karak.  

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Zali Khalid, 32; dan Md Nizam Hanapiah, 47.

- Bernama

Lihat Komen
ADS