Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
E-kerajaan: Sasaran 90 peratus tahun depan
Diterbitkan:  Oct 21, 2014 9:17 AM
Dikemaskini: 5:50 AM

Perkhidmatan kerajaan dalam talian dijangka mencapai 90 peratus tahun depan daripada lebih 60 peratus tahun lepas, kata Pengarah Advisori Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Wan Mohd Rosdi Wan Dolah.

    

Beliau berkata sasaran Malaysia adalah untuk membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan dari mana dan bila-bila masa sahaja.

    

"Bagaimanapun, terpulang kepada rakyat untuk menilai keberkesanan perkhidmatan kerajaan dalam talian... 90 peratus itu hanyalah angka.

    

"Memang sukar untuk mengukur keberkesanan perkhidmatan awam dalam talian. ICT amat mahal. Apabila kita membelanjakan satu juta (ringgit), bolehkah kita mendapat satu juta lagi?," kata beliau dalam pembentangan bertajuk 'Kerajaan Elektronik Malaysia: Perjalanan Ke Arah Kejayaan E-kerajaan bagi Perkhidmatan Awam Moden dan Responsif' pada sesi serentak di Putrajaya semalam.

Sesi itu berlangsung pada hari kedua Persidangan Dwitahunan PertubuhanKomanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

    

Pengerusi Jawatankuasa Pakar mengenai Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Margaret Saner menjadi moderator pada sesi itu.

    

Wan Mohd Rosdi berkata e-kerajaan memendekkan masa perkhidmatan yang biasanya mengambil masa sehari untuk disiapkan kepada hanya satu jam menggunakan sistem dalam talian.

    

Beliau berkata untuk memastikan kejayaan sistem e-kerajaan, kerajaan perlu memahami keperluan rakyatnya selain membangunkan infrastruktur ICT yang baik.

Antara perkhidmatan dalam talian yang boleh dilayari oleh rakyat Malaysia kini ialah menyemak saman, permohonan kerja, kata Wan Mohd Rosdi dan menambah, inisiatif e-kerajaan Malaysia bermula pada 1997 apabila kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia.

    

Sementara itu, seorang lagi penceramah, Elida Reci yang juga Pegawai Pentadbiran Awam dan Tadbir Urus, Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial,Bangsa-Bangsa Bersatu berkata satu daripada trend e-kerajaan adalah penyertaan secara elektronik oleh rakyat.

    

Beliau berkata kerajaan berpindah kepada sistem dalam talian untuk memastikan semua lapisan masyarakat terutama belia, wanita dan warga emas ialah antara golongan yang memanfaatkannya.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS