Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jokowi bakal lawat M'sia dalam masa terdekat
Diterbitkan:  Oct 21, 2014 9:31 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata presiden baru Indonesia Joko Widodo, menyatakan persetujuan untuk membuat lawatan rasmi ke Malaysia.

    

Perdana Menteri berkata undangan kerajaan Malaysia itu amat dihargai oleh Joko atau lebih dikenali dengan gelaran Jokowi semasa kedua-dua pemimpin itu bertemu di Istana Merdeka, kediaman rasmi presiden di Jakarta selepas beberapa jam beliau menjawat jawatan tertinggi republik itu.

    

"Presiden Jokowi bersetuju untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa yang terdekat ini... insya-Allah," kata Najib kepada media Malaysia sebelum berangkat pulang ke tanah air malam tadi,

Menurutnya pada pertemuan itu, beliau juga mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah kepada Jokowi atas lantikannya ke jawatan itu bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia.

    

Ditanya tentang hubungannya dengan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang menyerahkan tugas Presiden negara itu kepada Jokowi selepas menjawat jawatan itu sejak tahun 2004, Najib berkata beliau tetap akan menghubungi bekas pemimpin itu dari semasa ke semasa bagi mengekalkan hubungan yang sedia terjalin, malahan menganggap bekas presiden itu sebagai rakannya.

    

Perdana menteri berkata beliau percaya SBY akan diberi peranan dan tugas tertentu oleh negara kelahirannya sesuai dengan pengalaman luasnya itu.

Najib, yang turut berkesempatan menemui SBY, turut melahirkan penghargaan kepadanya atas sumbangannya mengekalkan hubungan baik dengan Malaysia sepanjang menjadi presiden.

    

Dalam sidang berita itu, Najib yang kelihatan ceria, sempat berjenaka dengan wartawan sambil menunjukkan gambar 'Selfie' yang diambil menerusi telefon bimbit baharunya, bersama dengan Jokowi ketika mengadakan pertemuan itu di Istana Merdeka.

    

Foto itu turut dikongsi perdana menteri bersama rakyat Malaysia melalui akaun twitternya.

    

Najib tiba di Indonesia sejak petang semalam atas jemputan peribadi daripada Jokowi, 53, bagi menghadiri majlis bersejarah Indonesia itu, dengan diiringiisteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai kalangan 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan pada upacara itu.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS