Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, marilah kita mengulangi tekad kita bersama untuk memperkaya Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu.

Bahasa berperanan sebagai salah satu asas jati diri bangsa Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu memupuk perpaduan, dan turut berperanan sebagai wasilah pembangunan negara melalui pelaksanaannya sebagai sarana komunikasi.

Penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi menjadikan komunikasi di kalangan pemimpin dan warga eksekutif dan juga komunikasi antara rakyat dan pemimpin, berlangsung dengan lancar dan berkesan.

Kerajaan Selangor mempunyai iltizam dan komitmen untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa ilmu dan pemikiran. Saya yakin, sekiranya kita cekap dan berusaha secara strategik, bahasa Melayu boleh dilonjakkan sebagai salah satu bahasa besar di dunia.

Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu-Indonesia di bawah kerajaan Sriwijaya.

Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu menyerlah gemilang sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan kesusasteraan.

Keunggulan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera.

Untuk memartabatkan dan memperkayakan bahasa Melayu di abad 21 tidak mencukupi dengan mengungkapkan nostalgia kegemilangan bahasa Melayu di zaman silam.

Bahasa Melayu masih perlu diperjuangkan. Bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan hasil dari perjuangan tokoh-tokoh bahasa, sasterawan dan rakyat keseluruhannya. Justeru itu perjuangan bahasa Melayu adalah sebahagian perjuangan untuk membina bangsa Malaysia.

Bahasa Melayu diperjuangkan oleh semua rakyat, semua kaum - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain. Maka bahasa Melayu bukan milik orang Melayu semata-mata. Bahasa Melayu adalah milik semua bangsa Malaysia.

Bagi memartabatkan bahasa Melayu di abad 21 kita tidak boleh melihat bahasa sekadar sebagai alat pertuturan, ekspresi dan komunikasi antara manusia. Yang lebih penting adalah bahasa sebagai wahana pemikiran dan rasionaliti. Aristotle, filasuf Yunani, memberikan definasi manusia sebagai "rational animal" - haiwan berfikir.

Definasi ini diterjemahkan oleh pemikir Islam sebagai "haiwan al-natiq" - haiwan yang berkata-kata. Manusia berkata-kata dengan bahasa, dan bahasa adalah wahana rasionaliti. Dari zaman falsafah Yunani, hingga ke zaman falsafah Islam, seterusnya sampai ke zaman moden bahasa dilihat sebagai wahana kerasionalan. Maka apabila manusia menggunakan akal rasionalnya, kemajuan akan diperolehi.

Dalam abad ke-18 muncul di Eropah satu gerakan intelektual dan kebudayaan yang meletakkan batu asas kepada zaman moden. Gerakan tersebut yang mendapat ilham dari falsafah Yunani dan Islam telah menggilap rasionaliti, menghasilkan revolusi pemikiran, sains dan pelbagai ilmu-ilmu. Gerakan tersebut yang dikenali sebagai Enlightenment atau Pencerahan turut mengasaskan demokrasi, tata kelola pemerintahan untuk kebajikan rakyat.

BM wahana falsafah tinggi

Dalam abad yang sama, Hamzah Fansuri dan Nurudin al-Raniri buat pertama kalinya menggunakan bahasa Melayu sebagai wahana falsafah dan pemikiran tinggi di Alam Melayu-Indonesia. Selepas itu, di abad ke-19, bahasa Melayu telah diangkat oleh Abdullah Munsyi untuk membuka lembaran kritikan sosial dengan menggunakan pendekatan moden.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipersoalkan lagi kerana ianya jelas termaktub dalam perlembagaan. Namun bahasa Melayu yang bertaraf bahasa kebangsaan, belum menjamin kekuatan bahasa tersebut sekiranya tidak menjadi wahana kepada ilmu dan pemikiran tinggi.

Untuk memperkayakan bahasa Melayu di abad ke-21, kita perlu memiliki keberanian untuk menggunakan konsepsi bahasa sebagai wahana rasionaliti dan Pencerahan seperti yang dilakukan oleh filasuf Yunani, Islam dan moden.

Strategi pemerkasaan bahasa Melayu tidak lain dan tidak bukan adalah strategi ilmu. Persaingan dan perlumbaan bangsa-bangsa dunia di abad ini adalah persaingan ilmu. Bahkan kuasa-kuasa besar, lama dan baru, yang bersaing untuk mendapatkan hegemoni ketenteraan dan ekonomi, bergantung dengan penguasaan terhadap ilmu. "Knowledge is power" - ilmu itu kuasa.

Bahasa Yunani kuno dan bahasa Latin adalah bahasa-bahasa yang telah mati, tetapi bahasa-bahasa tersebut terus dianjurkan di universiti-universiti di dunia kerana begitu banyak ilmu dan pemikiran tinggi yang terdapat dalam bahasa-bahasa tersebut. Sekiranya kita mahu bahasa Melayu diajar di universiti-universiti dunia maka bahasa Melayu perlu dijadikan wahana ilmu dan pemikiran.

Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya.

Bahasa Melayu perlu mengikut jalan yang dilalui oleh bahasa-bahasa besar dunia dalam perkembangannya menjadi bahasa dunia. Bahasa Arab sudah cukup kuat sebagai bahasa kitab suci. Tetapi melalui kegiatan Baitul Hikmah menterjemahkan karya falsafah dan ilmu-ilmu Yunani ke dalam bahasa Arab, bahasa tersebut menjadi wahana kepada pelbagai ilmu.

Penterjemahan pelbagai ilmu ke dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman turut menyumbang kepada pembangunan bahasa-bahasa tersebut. Bahkan tidak ada bahasa yang menjadi besar tanpa memindahkan karya besar dunia ke dalam bahasa tersebut.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan Selangor mahu terlibat dalam inisiatif untuk memperkayakan bahasa Melayu melalui kegiatan penterjemahan. Saya yakin khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu akan ditingkatkan melalui kegiatan seperti ini dan nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa pencerahan dan budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum.

Justeru, Kerajaan Selangor akan memulakan inisiatif memantapkan Bahasa Melayu dengan menterjemahkan World Order oleh Henry Kissinger, biografi Albert Einstein: His Life and Universe oleh Walter Isaacson dan Jinnah, Pakistan and Islamic Identity: The Search for Saladin oleh Akbar S Ahmed.

Cantik di sanggul bunga tanjung

Sepanjang masa menjadi idaman

Bahasa dijunjung sastera disanjung

Teguhlah bangsa sepanjang zaman

Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan, saya berharap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dapat melonjakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu yang berkesan dan berwibawa.

Demikian juga, Pelan Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi yang diistiharkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2011 perlu direalisasikan dengan program untuk menjadikan bahasa kebangsaan, bahasa yang berwibawa sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan.


Di atas adalah sedutan ucapan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dalam pertemuan bulanan dengan jabatan kerajaan sempena pelancaran bulan bahasa Kebangsaan 2014 bagi peringkat Selangor.

Lihat Komen
ADS