Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan, Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Rahim menjelaskan bahawa pihaknya masih belum mendapat hitam putih mengenai pemansuhan terbaru hutan simpan Ijok di Perak.

Katanya, tidak semua hutan Malaysia bawah kawalan jabatan itu kerana ada juga yang terikat dengan Kanun Tanah dan hanya 4.8 juta hektar hutan di Malaysia bawah jagaan Jabatan Perhutanan.

“Kita ada 4.8 juta hektar hutan simpan kekal yang diwartakan dalam Akta Perhutanan, keseluruhan (kawasan berhutan) berjumlah 5.8 juta hektar, jumlah selebihnya itu terikat bawah Kanun Tanah, bukan bidang kuasa, kawalan jabatan hutan.

“Kadang-kadang mungkin yang dimansuhkan itu adalah milik kerajaan, tanah milik atau rizab untuk tujuan pembangunan, itu yang kita kena tahu.

“Jadi kita kena tahu setiap kali dengar hutan dimansuh, kita tanya yang dimansuh itu tanah milik kerajaan atau hutan simpan kekal. Kalau hutan simpan kekal baru bawah jagaan jabatan hutan,” katanya.

Malaysiakini pada 15 Oktober lalu melaporkan, sebanyak 15 hutan simpan kekal di Perak didakwa dimansuhkan dan tidak diganti sejak tahun lima tahun lalu dan keluasannya kini dikatakan mencecah 10,000 hektar.

NGO pencinta alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, kes terbaru melibatkan hutan simpan Ijok di Perak yang menjadi pusat tadahan air dimansuhkan sepenuhnya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu “serkap jarang” dalam mengulas dakwaan kawasan hutan dibuka untuk pembalakan.

“Untuk lebih tepat, soalan ini perlu diajukan kepada kerajaan negeri bukan jabatan hutan sebab artikel 34, seksyen 2 Perlembagaan Persekutuan membolehkan kerajaan negeri menggunakan Kanun Tanah.

“Kemungkinan apa yang berlaku di Perak, pemansuhan dilakukan menggunakan Kanun Tanah dan tidak merujuk kepada Akta Perhutanan negara,” jelas Abdul Rahman lagi.

Malaysiakini sudah menghubungi exco alam sekitar Perak dan masih menunggu penjelasannya berhubung perkara itu.


NADIA OTHMAN wartawan pelatih di Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS