Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kem hospital sementara semasa AGM Umno
Diterbitkan:  Oct 21, 2014 4:59 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Sebuah kem hospital sementara akan disediakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) bermula 20 November depan.

    

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata kem hospital itu bertujuan memberi perkhidmatan rawatan dan kecemasan dan ia disediakan berikutan urusetia Umno menerima maklum balas mengenai perlunya sebuah kem seumpama itu semasa perhimpunan agung parti.

    

"Memandangkan keperluan ini, pihak urusetia bersetuju untuk mewujudkan sebuah 'base hospital' di Laman Merdeka, yang boleh menempatkan 20 pesakit pada satu-satu masa untuk diberikan rawatan dan pemerhatian sebelum dihantar ke mana-mana hospital," katanya ketika mempengerusikan Majlis Penyelarasan Media PAU 2014 di ibunegara hari ini.

    

Ab Rauf berkata kem hospital itu akan dilengkapi kemudahan rawatan, serta mempunyai kekuatan lapan pegawai perubatan dan 32 jururawat.

    

"Unit kecemasan juga telah menyediakan empat buah ambulans untuk pesakit dihantar ke mana-mana hospital yang perlu sekiranya memerlukan rawatan lanjut," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata urusetia akan lebih menekankan aspek keselamatan bagi memastikan urusan perhimpunan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

    

Ini, katanya, dengan memastikan lorong yang bakal digunakan sebagai laluan para perwakilan, anggota Majlis Tertinggi serta kepimpinan tertinggi Umno, dikawal lebih ketat, termasuk penggunaan pengadang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS