Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada minggu depan akan memihak kepadanya.

Katanya, tiada lagi sebab yang timbul, sama ada dari segi perundangan mahupun politik untuk menyabitkan beliau dengan kesalahan itu.

Jelasnya, keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara ke atas beliau awal tahun ini hanyalah untuk menghalang beliau dari bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.

“Kalau ikut undang-undang saya tak masuk (penjara). Kalau saya takut undang-undang saya tak baliklah (ke Malaysia).

"Kenapa tak berjaya? Fakta tak ada. Tiada bukti. Dia nak guna alasan apa? Pilihan raya (kecil) Kajang dah lepas," katanya kepada pemberita.

Beliau menyertai program jelajah 'Rakyat Hakim Negara' di Klang hari ini bagi mengumpulkan penyokong untuk hadir ke mahkamah pada hari keputusan perbicaraan tersebut.

Anwar turut menafikan bahawa beliau terdesak sehingga terpaksa mendapatkan sokongan negara luar kepadanya dalam menghadapi keputusan kes pada 28 Oktober.

Anwar berada di United Kingdom pada hujung minggu lalu untuk menyertai mesyuarat jawatankuasa bertindak mengenai reformasi pendidikan tinggi di negara Islam.

Anwar menjelaskan, kenyataannya kepada media antarabangsa sebelum ini hanya untuk menunjukkan bahawa beliau dan pemimpin lain konsisten dalam pendirian mereka menentang ketidakadilan.

'Bukan soal Anwar, tapi keadilan'

Beliau membandingkannya dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta pertolongan dari Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Tujuan sama juga boleh dilihat dalam seruan menentang tindakan kezaliman yang menimpa masyarakat Islam di Palestin dan Myanmar, katanya.

"Datuk Seri Najib (Razak) tak pernah mintak tolong Obama? Isunya orang hendak pertahankan prinsip kebebasan demokrasi dan negara hukum.

"Ini kita bicara di mana-mana. Orang tanya saja di mana-mana, saya jawab sama.

"Sebab apa kita sokong Gaza? Sebab ketidakadilan oleh rejim Israel.

"Sebab apa kita suarakan nasib Rohingya? Sebab kezaliman keatas mereka. Jadi pandangan ini harus konsisten," tegas beliau.

Menurut beliau juga kempen 'Rakyat Hakim Negara' tidak harus dinilai dari segi pandangan media kerajaan sehaja sebaliknya isi hati rakyat yang menentang kezaliman kepada setiap rakyat.

"Ini bukan soal Anwar. Kalau bapa anda kena penjara kalau dia tak salah macam mana? Nak pertahan?"

Mahkamah pada Mac lalu mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwat dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, namun beliau masih bebas sementara menunggu keputusan rayuan.

Anwar, 67 didakwa meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium pada 2008, yang dinafikan oleh ketua pembangkang itu.

Lihat Komen
ADS