Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjalinkan kerjasama dengan GiatMara untuk melatih golongan asnaf di negeri ini menjalani kursus kemahiran sebagai usaha membantu mereka berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.

Timbalan Yang Dipertua MUIP Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu, MUIP akan mengenal pasti golongan asnaf berpotensi dan akan membiayai pengajian mereka.

"Kita akan hantar mereka ke GiatMara dan pihak Giatmara pula akan memilih kursus-kursus tertentu mengikut kemahiran dan bakat yang ada pada golongan asnaf ini.

"Antara kursus yang dikenal pasti termasuk kursus fabrikasi logam, kursus makanan (kulinari), kursus rekaan dan pembuatan baju, kursus seni sulaman kreatif dan kursus seni reka gaya rambut," katanya kepada pemberita selepas menandatangai MoU tersebut di Kuantan semalam.

GiatMara diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Rosdi Ismail dengan disaksikan Setiausaha MUIP Datuk Ahmad Hairi Hussain dan Pengarah GiatMara Pahang Sallehhoddin Abu Bakar.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang Dipertua MUIP dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Wan Abdul Wahid berkata pelatih yang berjaya menamatkan pengajian akan diberikan bantuan modal oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) untuk mereka memulakan perniagaan.

Dalam majlis sama Tengku Abdullah mewakili MUIP turut menerima zakat perniagaan bernilai lebih RM5.2 juta daripada tiga badan korporat di negeri ini.

Baginda menerima zakat perniagaan itu daripada Etiqa Takaful Berhad berjumlah RM231,450.50, Felcra Berhad Pahang (RM1.8 juta) dan Koperasi Permodalan Felda Berhad (RM3.2 juta).

Sehingga Sept lepas, MUIP menerima keseluruhan zakat sebanyak RM90.1 juta termasuk zakat perniagaan RM33 juta dengan RM80 juta daripadanya telah dibelanjakan untuk membantu golongan asnaf di negeri ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS