Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 berakhir hari ini dengan melakar kejayaan besar, manakala anggota perwakilan memperbaharui harapan untuk melihat penyampaian perkhidmatan awam di negara masing-masing mengalami transformasi.

Mereka begitu yakin pembaharuan dan transformasi boleh dilakukan terhadap penyampaian perkhidmatan awam dengan merapatkan jurang yang wujud dalam perkhidmatan rutin untuk orang ramai.

Mereka sependapat bahawa untuk menghidupkan butang transformasi, sesuatu pentadbiran perlu terlebih dahulu mempunyai konsep "manusia" kerana ia penting bagi orang ramai dan negara.

Persidangan tiga hari penuh kejayaan dan produktif ini membuktikan bahawa masih ada ruang untuk melakukan penambahbaikan terhadap bidang pentadbiran dan pengurusan bagi setiap negara kerana menuju kepada keadaan lebih baik memerlukan banyak masa untuk melakukan revolusi dan transformasi.

Antara acara menarik yang diadakan bersempena persidangan ini ialah Larian Antarabangsa CAPAM yang berlangsung pada Ahad dan menarik kira-kira 3,000 peserta dari 11 negara. Acara ini menaikkan semangat dan menimbulkan suasana meriah dalam kalangan anggota perwakilan dan peserta persidangan itu.

Kemudian tercetus pula berita yang membanggakan rakyat Malaysia apabila Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dipilih sebulat suara sebagai presiden baharu CAPAM.

Persidangan dwitahunan ini berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebuah bangunan yang tersergam indah di pusat pentadbiran persekutuan Malaysia ini.

CAPAM 2014 menarik penyertaan penggiat utama dalam bidang pentadbiran dan pengurusan.

Antara 1,500 peserta dari 53 negara yang menghadirinya ialah Timbalan Perdana Menteri Namibia Marco M. Hausiku dan pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP).

Di samping itu, Palestin, yang masih belum pulih daripada menjadi mangsa serangan Israel selama 50 hari dan menyebabkan lebih 2,200 orang tebunuh, diundang khas oleh kerajaan Malaysia untuk menghadiri persidangan ini, walaupun ia bukan anggota Komanwel.

Lebih 60 kertas kerja dibentang pada persidangan ini, manakala negara anggota Komanwel juga menimbang cadangan untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam di negara masing-masing.

Turut diadakan ialah pertukaran surat yang merintis jalan kepada penubuhan Pusat Kecemerlangan Kerjasama Awam-Swasta (PPPCoE) di negara ini, sama seperti Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang terdapat di Australia, Kanada dan Singapura.

Anggota perwakilan juga berpeluang melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka, UTC pertama di negara ini di mana terdapat 70 pejabat cawangan kendalian kerajaan dan sektor swasta menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.

Sementara itu, pada Forum Media yang julung kali dihoskan Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia ( Bernama ), Ali menyentuh tentang perlunya penjawat awam memanfaatkan media baharu sebagai platform untuk menarik pembabitan pemegang kepentingan mereka, terutama belia.

Malam terakhir persidangan ini menutup tirainya dengan majlis makan malam presiden dan pengumuman pemenang Anugerah Inovasi Antarabangsa CAPAM.

Management of Kumbh Mela 2013 oleh Kerajaan Negeri Uttar Pradesh, India muncul juara keseluruhan.

Malaysia juga adalah antara pemenangnya, dengan memperoleh anugerah melalui Pemantauan Bandar Raya Selamat (Anugerah Penggunaan Teknologi Secara Inovatif dalam Perkhidmatan Awam) oleh Polis Diraja Malaysia. Pemenang lain termasuk Pejabat Perdana Menteri Trinidad and Tobago dan Sakala Mission dari India (Anugerah Inovasi dalam Pengurusan Perkhidmatan Awam).

Persidangan ini dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Sekretariat Komanwel dengan tema 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'.

- Bernama

Lihat Komen
ADS