Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Komanwel perlu lebih aktif menarik pembabitan media untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang aktivitinya serta memastikan pertubuhan itu sentiasa relevan.

Demikian rumusan Felo Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) Shahreen Kamaluddin, yang bertindak sebagai moderator perbincangan lima anggota panel mengenai topik 'Bagaimana media arus perdana dan media sosial Malaysia boleh mempromosi Komanwel dan pengajaran yang boleh diambil daripada kekurangan kesedaran dalam kalangan belia tentang pertubuhan itu sekarang'.

Sesi itu diadakan bersempena persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, yang berakhir pada Selasa.

Bercakap sebagai pakar perhubungan awam (PR), Shahreen berkata Komanwel perlu meningkatkan usaha untuk bersahabat dengan media dan membekalkan kepadanya cerita yang mempunyai nilai berita untuk dilaporkan.

Terdahulu, Pemegang Amanah Kesatuan Akhbar Komanwel (CPU) John Spencer dari United Kingdom (UK), berkata laporan media perlu bebas daripada perbuatan mempromosi mana-mana badan, termasuk Komanwel.

Beliau bagaimanapun berkata wartawan perlu mengambil inisiatif untuk menghasilkan cerita menarik tentang masyarakat Komanwel.

“Ada banyak cerita menarik dari negara Komanwel. Hanya perlu berusaha untuk mendapatkannya.

“Bagaimanapun, bukanlah tugas wartawan untuk menghasilkan tulisan yang menguntungkan mana-mana organisasi," katanya dalam perbincangan itu.

Selain Spencer, anggota panel perbincangan itu ialah CEO Institut Akhbar Malaysia Datuk Chamil Wariya, Penasihat Kumpulan Media Prima Berhad (Tanggungjawab Sosial Korporat) Datuk Ahmad A. Talib, Ketua Pengarang Kumpulan Malay Mail Datuk Wong Sai Wan dan Editor Kumpulan ABN Media Group Balan Moses.

Moses menegaskan tentang kepentingan wujudnya hubungan simbiotik dalam kalangan kesemua 53 negara anggota Komanwel dalam bidang pendidikan, kesenian dan ekonomi, yang boleh diterajui Malaysia.

Katanya mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa bersama dalam kalangan negara anggota Komanwel memudahkan mereka berkongsi dan bertukar-tukar pengetahuan serta budaya.

"Terdapat banyak persamaan dalam kalangan anggota. Kita perlu memanfaatkannya. Kerajaan dan sektor swasta perlu berusaha untuk melihat bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripadanya. Saya percaya kita berada dalam keadaan menang-menang," katanya.

Moses juga mencadangkan agar sebuah kampung Komanwel diwujudkan di Malaysia untuk menggalakkan kelahiran idea melalui aktiviti seperti festival penulisan untuk belia di negara Komanwel.

Wong pula menegaskan bahawa pertubuhan itu perlu berhenti daripada asyik mengimbas kenangan tentang kehebatannya pada masa lampau sekiranya ia ingin menjadi lebih relevan dengan golongan muda.

Sambil menyifatkan pertubuhan itu sebagai 'membosankan', beliau berkata khalayak muda lebih berminat untuk mengetahui tentang masa depan mereka, bukan perkara lampau.

Ahmad berkata untuk menarik penglibatan belia, Komanwel boleh melantik atlet terkenalnya seperti pelari terpantas dunia Usain Bolt dari Jamaica sebagai ikon Komanwel.

"Selain Sukan Komanwel, tidak banyak orang yang tahu tentang Komanwel dan manfaat yang dibawanya kepada orang ramai. Oleh itu, usaha perlu dilakukan dengan segera dan secara tekal untuk memperkenalkan Komanwel, bukan sahaja untuk membEri manfaat kepada kerajaan, tetapi juga sektor swasta, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan individu," katanya.

Ahmad juga berkongsi dapatannya bahawa hanya 14,000 pengguna Twitter mengikuti laman Komanwel, berbanding lebih 3.1 juta pengguna yang mengikuti pemain bola terkenal Itali Mario Barotelli, yang bermain untuk kelab Inggeris, Liverpool.

- Bernama

Lihat Komen
ADS