Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Terlalu hukum jauhkan anak muda, agamawan'
Diterbitkan:  Oct 23, 2014 12:50 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Bersikap "terlalu menghukum" pada penganjur dan pengunjung acara 'Saya Mahu Sentuh Anjing' tanpa memberi peluang membela diri dikhuatiri bakal menjauhkan generasi muda Muslim urban daripada golongan agamawan, kata Dr Maszlee Malik.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata beliau bimbang dengan reaksi sedemikian berbanding berhikmah akan menyebabkan anak muda turut menjauhi pihak berautoriti.

"Majoriti mereka yang menentang program tersebut rata-ratanya berhujahkan mazhab Syafie dan sensitiviti masyarakat Melayu.

"Mereka mempunyai hak dan sudut kebenarannya di situ, namun anak-anak muda Muslim urban sekarang sudah terdedah dengan mazhab-mazhab lain melalui pembacaan, media dan internet.

"Mereka terdedah dengan fatwa para ulama bermazhab Maliki yang tidak melihat menyentuh anjing sebagai satu perbuatan yang haram, dan juga tidak melihat anjing sebagai najis yang mughallazah (berat)," katanya.

Dalam kenyataan semalam, Dr Maszlee berkata golongan muda kini terdedah bahan pembacaan di internet mengenai pelbagai mazhab termasuk Maliki yang berpendapat perbuatan menyentuh anjing sebagai perbuatan haram dan najis berat.

Malah, katanya, ulama terkenal Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Taharah dan mantan mufti Mesir Syeikh Ali Juma'ah turut berkongsi pandangan sama dengan mengambil pandangan mazhab Maliki dalam isu menyentuh anjing.

Pensyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh turut berkata kehadiran ulama antarabangsa yang mampu berbahasa Inggeris dan menguasai pelbagai mazhab dan ilmu Islam ke negara ini turut dilihat lebih meyakinkan anak muda urban itu.

"Tambahan pula sikap tasamuh (toleransi) dan lebih bijak mendidik dan berdakwah yang ditunjukkan oleh para ulama antarabangsa tersebut kepada anak-anak muda Muslim urban lebih memenangi hati mereka.

"Maka, apabila para ulama tersebut mengambil fatwa mazhab Maliki, ia lebih dekat dengan hati anak-anak muda tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Dr Maszlee berkata sikap tidak toleransi agamawan tempatan turut menyebabkan anak muda yang berfikiran kritikal dan rajin mengkaji akan memilih rujukan luar berbanding ulama tempatan.

Lihat Komen
ADS