Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan aktiviti pembalakan haram di Sarawak melibat nilai rasuah RM300 hingga RM10,000 setiap transaksi dan menahan seorang pegawai kanan polis yang disyaki menerima rasuah.

Suruhanjaya itu juga menyita lebih kurang 30 akuan bernilai RM18 juta daripada 10 pemilik syarikat balak yang terbabit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Mohd Shukri Abdull berkata pegawai kanan polis yang ditahan itu ialah ketua bahagian siasatan jenayah sebuah IPD di Sarawak, yang dipercayai menerima rasuah bernilai RM16,000.

Beliau berkata, pegawai kanan polis itu ditahan pada 20 Oktober dan akan direman sehingga 26 Oktober sebelum dituduh ke mahkamah.

“Dalam pemerhatian SPRM selama sembilan bulan, kerajaan Sarawak telah mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM43 juta.

“Dalam setahun, kerugiannya dianggarkan tidak kurang daripada RM100 juta. Walaupun nilai rasuah ini dilihat kecil namun impak terhadap perlakuan ini amat besar,” katanya.

Tak temui penglibatan Taib Mahmud

Dalam sidang medianya, Mohd Shukri berkata pihaknya turut menyiasat sama ada kemungkinan penglibatan bekas ketua menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dalam kes tersebut.

Bagaimanapun Mohd Shukri menegaskan pihaknya tidak menemui sebarang penglibatan Taib dalam kes tersebut.

“Setakat ini, tidak ada nama Taib Mahmud terlibat (dalam kes ini),” katanya apabila ditanya oleh pemberita.

Mohd Shukri juga berkata SPRM turut menahan sembilan individu yang terdiri daripada pengurus besar syarikat pemilik syarikat, pengurus kem dan pemegang saham syarikat.

Beliau berkata, SPRM telah mendakwa seorang ke mahkamah semalam dan empat orang akan dituduh pada hari ini.

Sementara itu, Shukri berkata, semenjak 2009 hingga September 2014, SPRM menerima 400 maklumat berkaitan aktiviti pembalakan haram.

“Berdasarkan maklumat ini, SPRM telah membuat perisikan, pemantauan dan pemerhatian di 12 lokasi di beberapa daerah Sarawak, termasuklah Kuching, Limbang, Sibu, Miri, Kapit dan Ulu Baram.

“Daripada pemerhatian, kita mengesahkan memang terdapat pembalakan haram di Sarawak,” tegasnya.

Beliau berkata, operasi bersepadu yang dinamakan “Ops Tukul” ini mula dijalankan pada 20 Oktober dengan kerjasama polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim dan Jabatan Hutan Sarawak.

“Selain kerugian nilai wang, berlaku juga kemusnahan alam sekitar di Sarawak, kerosakan kawasan tadahan air, penjejasan kehidupan liar.

“Malah ada pembalak haram menebang pokok bernilai tinggi yang dilarang seperti pokok berlian dan pokok ketapang,” katanya.

Lihat Komen
ADS