Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Acara sentuh anjing turut resahkan Brunei
Diterbitkan:  Oct 24, 2014 11:13 AM
Dikemaskini: 6:54 AM

Bukan sahaja di Malaysia, penganjuran acara kontroversi menyentuh anjing “I Want To Touch A Dog” di Petaling Jaya baru-baru ini turut meresahkan negara jiran Brunei.

Kementerian agamanya semalam mengeluarkan kenyataan menasihati umat Islam negara itu supaya tidak terikut-terikut dengan program yang bercanggah dengan agama, kepentingan awam dan sensitiviti umat Islam.

“Hal ini sekali gus turut menimbulkan keresahan orang ramai khasnya dalam kalangan umat Islam kerana secara jelas telah bercanggah dengan pegangan mazhab dan amalan beragama di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan bahawa berdasarkan mazhab Shafie, umat Islam dilarang menyentuh anjing dengan sengaja kerana ia dianggap menajiskan diri tanpa tujuan.

Malah, menurut kementerian itu, alasan ia boleh disamak tidak boleh diterima kerana seperti sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudian.

Kementerian itu juga membangkitkan fatwa negara itu pada 2012 yang dibuat oleh mufti Awang Abdul Aziz Juned pada 2012.

“Sehubungan dengan itu, ke arah merealisasikan hasrat negara menjadi sebagai sebuah 'negara zikir', adalah tidak sesuai acara tersebut diadakan seterusnya menjadi ikutan masyarakat di negara Brunei Darussalam...,” menurut kementerian agama negara itu.

Lihat Komen
ADS