Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersama penyokong PKR hari ini mengadakan flashmob “Rakyat Hakim Negara” di hadapan lampu isyarat LRT stesen Universiti.

Flashmob yang bermula pada jam 5 petang itu dihadiri kira-kira 25 orang termasuk pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Mereka yang hadir memegang sepanduk turunkan harga minyak, bebaskan institusi kehakiman , dan mansuhkan PTPTN, sambil melaungkan “turun turun.. harga minyak”

Lalulintas di sekitar kawasan tersebut lancar.

Kebanyakan kenderaan yang melalui jalan itu membunyikan hon sepanjang jalan dan ia disambut dengan sorakan  “reformasi”.

Menurut Naib Pengerusi AMK, Fahmi Fadzil, Flashmob ini diadakan bagi  membangkitkan kesedaran berkenaan isu masyarakat, isu keadilan dan kezaliman di negara ini.

“Flashmob ini adalah untuk membangkitkan kesedaran berkenaan isu  rakyat, kezaliman sama ada dalam bentuk isu minyak naik, harga barang naik, dan termasuk juga kes Akta Hasutan yang dikenakan terhadap begitu ramai ahli politik, ahli akademik, wartawan dan juga ahli parlimen," katanya.

Turut kelihatan anggota polis trafik yang memerhatikan program selama 30 minit itu dari seberang jalan.

Fahmi menjelaskan, lokasi itu dipilih kerana ia laluan sesak apabila waktu puncak, sekaligus dapat menarik perhatian mereka yang melalui jalan ini.

Menurut beliau lagi, Flashmob ini akan diadakan di banyak tempat sehingga 28 Oktober.

Flashmob itu tamat pada jam 5.30 petang.

Lihat Komen
ADS