Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengusaha ikan sangkar bantah projek korek pasir
Diterbitkan:  Oct 24, 2014 8:55 PM
Dikemaskini: 1:00 PM

Kerajaan Pahang diminta mengkaji semula kelulusan lesen mengorek pasir di Sungai Pahang bagi mengelak berlaku hakisan tanah serta kekurangan sumber ikan.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai khususnya penternak ikan sangkar yang mendakwa banyak ikan peliharaan mereka mati akibat air sungai yang keruh ekoran aktiviti mengorek pasir yang tidak terkawal.

"Ada penternak ikan sangkar yang mempunyai lebih 1,200 buah sangkar ikan dan nelayan sungai di daerah Temerloh yang bimbang dengan situasi itu jika dibiarkan berterusan.

"Aktiviti itu bukan sahaja menjejaskan mata pencarian nelayan dan penternak, malah air sungai akan terus menjadi kotor dan berminyak akibat tumpuhan minyak daripada jentera pengepam pasir," katanya kepada Bernama di Temerloh.

Ismail berkata, akibat daripada aktiviti itu juga lori yang membawa muatan berpuluh tan pasir turut merosakkan jalan-jalan kampung, negeri dan persekutuan sekali gus menyulitkan pengguna jalan raya.

"Contohnya jalan sepanjang 15 kilometer dari Simpang Rumpun Makmur, Kuala Krau ke Kampung Batu Sawar rosak teruk akibat laluan lori muatan pasir itu.

"Sebanyak RM15 juta diperlukan bagi membaiki jalan tersebut dan ini membebankan kerajaan sedangkan hasil daripada mengorek pasir itu tidak berbaloi," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan turun padang melihat kawasan yang terlibat bersama-sama pihak pentadbiran daerah dan wakil rakyat tempatan sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Tinjauan Bernama semalam mendapati terdapat sebanyak tujuh kapal pengorek pasir yang ditempatkan antara jambatan Kuala Krau dan jambatan Temerloh untuk menjalankan kerja-kerja mengorek pasir, namun dipercayai operasinya masih belum bermula akibat menerima bantahan penduduk setempat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS