Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kereta kontraktor meletup akibat molotov cocktail
Diterbitkan:  Oct 25, 2014 11:00 AM
Dikemaskini: 3:04 AM

Seorang kontraktor kerugian lebih RM20,000 selepas kereta jenis Audi A6 miliknya meletup dan terbakar selepas dibaling molotov cocktail dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Seri

Gelugor, di Tasek Gelugor semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian 2.30 petang itu mangsa yang berusia 62 tahun berada dalam rumah bersama isteri dan dua anak sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.

"Lelaki itu keluar melihat apa yang berlaku dan mendapati keretanya yang berada di luar kawasan rumah mereka telah hangus terbakar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa, ia menunjukkan seorang lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti berhampiran kereta kontraktor berkenaan.

Mazlan berkata suspek dipercayai memecahkan cermin kereta mangsa sebelum kembali ke motosikalnya dan membakar molotov cocktail dan membaling ke dalam kenderaan berkenaan sebelum meninggalkan tempat kejadian diikuti dengan letupan menyebabkan kereta terbabit hangus terbakar.

Katanya motif kejadian masih dalam siasatan dan rakaman CCTV itu diambil untuk dianalisis dan usaha mengesan lelaki yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS