Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Wasatiyyah pacu kejayaan M'sia
Diterbitkan:  Oct 25, 2014 3:35 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pendekatan Wasatiyyah yang dijadikan asas dalam pentadbiran telah membawa Malaysia keluar daripada bermacam kemelut dan cabaran sehingga muncul sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif.

Perdana Menteri berkata ia sekali gus menutup pandangan sinis pelbagai pihak yang tidak percaya bahawa negara dengan komposisi masyarakat berbilang kaum ini mampu bertahan untuk pembinaan negara bangsa.

"Pastinya ramai tertanya-tanya apakah falsafah, gagasan, prinsip, pegangan mahupun kriteria yang disandar serta diamalkan kita sehingga Malaysia mampu sampai ke tahap hari ini.

"Tidak lain dan tidak bukan, sejak dulu Malaysia sememangnya sudah pun mengambil pendekatan Wasatiyyah yang dianjurkan dalam ajaran Islam melalui puluhan nas dan dalil yang diulang-ulang dalam al-Quran," katanya.

Berucap pada majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, Najib berkata pendekatan Wasatiyyah merupakan satu prinsip yang dapat menjadi asas kepada sebarang prakarsa, inisiatif mahupun tindakan yang diambil merangkumi semua lapangan.

Najib berkata formula Wasatiyyah yang dipraktikkan kerajaan merangkumi beberapa elemen tunjang iaitu kesederhanaan, berimbang dan mementingkan kecemerlangan sekali gus membawa pembangunan kepada masyarakat secara menyeluruh berdasarkan ajaran Islam.

Ini jelas menunjukkan pendekatan Wasatiyyah menolak sifat taksub, fanatik dan fahaman melampau yang menyebabkan masyarakat menjadi jumud sehingga tidak boleh melihat sesuatu yang dibangkitkan secara umum.

Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa amalan Islam yang ditampilkan di Malaysia adalah bersifat sejagat melalui pemahaman hukum-hukum Islam yang jelas tanpa melonggarkan agama hingga ke tahap liberal.

Katanya perkara inilah yang perlu difahami dan dihadami dengan sebaiknya oleh seluruh umat Islam, khususnya di Malaysia.

Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan menolak sebarang bentuk kegiatan bersifat militan yang terang-terang tidak mencerminkan kemurniaan Islam yang sebenar.

Najib berkata kegiatan yang berpunca daripada ketandusan pengetahuan tentang Islam, ditambah kedangkalan dan kecetekan ilmu akan menjerumus masyarakat kepada kancah perbuatan yang jauh menyimpang daripada ajaran sebenar yang dibawa Rasulullah SAW berasaskan Al-Quran dan Sunah.

"Dalam hal ini kita sering mendengar orang memperdebatkan tentang istilah jihad tanpa memahami maksudnya yang mendalam, bahkan telah menyalahtafsirkan pengertian mujahadah itu.

"Sebaliknya, perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan Islam bukanlah seperti yang sering terjadi termasuklah perbuatan menjadi pengebom berani mati yang jelas dilarang keras di sisi Islam," katanya.

Berhubung sambutan Maal Hijrah yang bertemakan "Perpaduan Nadi Transformasi Negara", Najib mengajak seluruh masyarakat supaya menjadikan hijrah yang dilakukan Rasulullah SAW dalam menyatukan dan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar sebagai pedoman dalam mengurus kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.

"Maknanya, dalam kontemporari Malaysia, perpaduan dan kestabilan amat mustahak dengan cara menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan," katanya.

Pada majlis itu, Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah tahun 1436H/2014M.

Majlis turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

- Bernama

Lihat Komen
ADS