Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan aktivis penerbitan independen menganjurkan program KL Zine Fest serentak dengan pesta buku Kolumpo Kita Punya! minggu lalu yang mencatatkan kehadiran ribuan pengunjung.

Majlis yang berlangsung di Dataran Underground, Dataran Merdeka itu memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi secara langsung dengan penerbit buku dan zine independan yang mengambil bahagian.

Meskipun hujan lebat dan ruang acara yang sangat terhad, ia tidak menghalang kehadiran pengunjung kerana minat mereka yang mendalam terhadap buku dan zine - karya independen yang dicetak sendiri.

Antara penerbit zine yang menjadi tumpuan dalam KL Zine Fest ialah Norifumi, Psychotic Art Zine, Mosh, Geng Gelabah, 321 Go Create dan Serak-Serak.

Sementara penerbit buku indie yang turut menjual karya mereka secara langsung adalah Buku Fixi, Merpati Jingga, Dubook Press dan Terfaktab.

Sebanyak 40 buah gerai penerbit yang menjual hasil penulisan mereka yang turut menyentuh isu politik, muzik, sastera dan juga karya komik.

Bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu, tidak lekang daripada suasana panas apabila ada pelbagai persembahan dan bual bicara mengenai karya dari anak muda menghiasi pentas utama Kolumpo Kita Punya!.

Pentas utama acara turut diceriakan dengan persembahan kumpulan pujaan anak muda termasuk Ana Rafalli, The Venopian Solitude, Iqbal M, Primary dan Fazleena & The Lasykar.

'Kami mahu dikenali'

Di satu pentas lagi, acara turut diserikan persembahan dari kumpulan musik independen termasuk The Mindless Show, Orkes Rakyat Tertindas, Jabatan Audio serta bacaan puisi dari Saudara Petak Daud yang menghiburkan hadirin.

Kolumpo Kita Punya! merupakan edisi acara Kuala Lumpur Writers and Readers Festival yang bermula sejak beberapa tahun lalu.

Penganjur Kolumpo Kita Punya!, Mutalib Uthman berkata niat utama penganjuran acara itu untuk menghebahan kewujudan penerbit independen kepada masyarakat.

“Kami mahu masyarakat mengetahui kewujudan kami. Kami ini ada tetapi tidak dikenali," katanya kepada Malaysiakini .

“Saya risau sebenarnya kerana banyak program yang dilakukan serentak pada hari ini namun syukur, ramai yang hadir ke sini walaupun keadaan hujan lebat," katanya lagi.

Mutalib berkata sebelum ini mereka menjalankan acara seperti itu  sesama mereka dan tidak dilangsungkan di tempat terbuka.

 

Sehubungan itu, katanya, acara seperti itu di tempat terbuka menjadi permulaan untuk memberi suntikan semangat kepada penulis independen untuk menulis dan memasarkannya kepada masyarakat luar.

Beliau turut berharap agar lebih banyak acara seni seperti ini dapat dijalankan di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS