Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan mahu IGP lebih agresif atasi judi haram
Diterbitkan:  Oct 26, 2014 1:27 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Akhbar milik Umno Utusan Malaysia edisi hujung minggu hari ini mahu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertindak lebih tegas dalam membanteras masalah judi haram negara.

Dalam ruangan pojoknya, Awang Selamat berkata rakyat, NGO dan media kecewa dengan pihak berkuasa dalam soal penguatkuasaan dan seolah hilang kawalan menangani kes perjudian haram, lapor Mingguan Malaysia hari ini.

"Awang boleh puji ketegasan Khalid antaranya menangani isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang sehingga pertubuhan haram itu boleh dilumpuhkan dalam masa yang singkat.

"Tetapi menghairankan beliau tidak garang dan tidak ke hadapan dalam isu mesin judi haram?

"Ada yang bertanya bila kali terakhir Khalid turut menyertai serbuan mengejut di mana-mana pusat judi haram? Awang tidak boleh jawab dan tidak ingat pun," katanya dipetik dalam ruangan itu.

Dalam tulisannya itu, Awang Selamat mahu Khalid memberikan isyarat yang kuat dan meyakinkan kepada semua pihak dan bukan sekadar amaran retorik sahaja sebaliknya realitinya gejala itu berleluasa.

Awang juga berkata pembasmian perjudian haram tidak mustahil untuk diatasi dan perlu dijadikan keutamaan dan KPI kepada polis, pihak berkuasa tempatan serta pihak berkuasa lain.

Beliau menambah Khalid selaku KPN hanya perlu beri arahan beberapa patah perkataan: "Saya tidak mahu premis mesin judi haram wujud lagi," untuk memulakan kerja.

"Menurut kajian NGO, terdapat lebih 25,000 premis mesin judi haram di seluruh negara – menakutkan! Mini kasino haram pula mula wujud.

"Awang pernah mencadangkan KPI untuk semua Datuk Bandar, Ketua Polis Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala judi haram, yang kebanyakannya berselindung atas nama kafe siber atau Internet.

"Jika gagal, tukarkan mereka segera. Khalid juga patut meletakkan KPI-nya sendiri dalam hal ini," kata beliau

Bagaimanapun Awang Selamat menafikan kritikan itu bermaksud akhbar itu tidak mahu menyokong Khalid dan mahu KPN ditukar.

"Walaupun ada kritikan dan tohmahan terhadap Khalid, Awang masih meletakkan sandaran kepada beliau. Memang sesiapa menyandang jawatan seperti itu mudah terdedah kepada tohmahan dan disalah erti," kata beliau.

Lihat Komen
ADS