Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjelang keputusan kes liwat II melibatkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR hari ini melancarkan kempen 'Justice4Anwar' bagi mendapatkan sokongan dari negara-negara Asean berhubung kes tersebut.

Koordinator kempen 'Justice4Anwar', Yusmadi Yusoff,  berkata antara dasar yang disokong oleh negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dalam Piagam Asean (Asean Charter) ialah mendukung undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi manusia dan keadilan sosial.

Sehubungan itu, katanya, kes liwat II ini akan menjadi kayu pengukur terhadap komitmen negara Asean bagi membela hak asasi manusia berdasarkan Piagam Asean yang dipersetujui pada 2007 itu.

Menurutnya lagi, pada waktu ini PKR telah mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Jawa Barat, Indonesia Dave Laksono dan Ahli Kongress Filipina Bebot Bello.

"Pada kami, kes ini wujud sebelum wujudnya Piagam Asean lagi. Jadi ini merupakan satu komitmen baru kepada semua negara Asean untuk membina teras perlunya membela hak asasi manusia.

"Saya rasa kes Anwar ini akan menjadi kayu ukur kepada komitmen negara Asean terhadap hak asasi manusia dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran kempen 'Justice4Anwar' di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Aplikasi Skype

Turut hadir Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mat Akin dan beberapa pemimpin sayap PKR yang mengadakan sidang media menerusi aplikasi Skype bersama-sama dengan Dave.

Menurut Dave yang juga ahli parti Golkar, beliau menyatakan keprihatinan terhadap Anwar dan meminta supaya ketua pembangkang itu mendapat perbicaraan yang adil.

Malah, beliau turut menyarakan rasa keraguan berhubung perbicaraan kes ke atas Anwar yang didakwanya cenderung untuk menganiayai MP Permatang Pauh itu.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua negara Asean supaya menolak sebarang pelanggaran hak asasi manusia dan penyalahgunaan kuasa seperti yang didakwanya berlaku terhadap Anwar.

"Kami menyatakan keprihatinan kami bahawa Anwar tidak mendapat perbicaraan yang adil, proses berbicaraan di Mahkamah Rayuan penuh keraguan dan cenderung ke arah menamatkan karier politik Anwar.

"Kami meminta solidariti dan setiakawan daripada masyarakat Asean untuk menolak sebarang pelanggaran prinsip hak asasi manusia khususnya menyalahgunakan kuasa bagi tujuan politik kotor dan kerajaan yang korup," kata Dave yang turut membaca kenyataan bersama Shamsul dan Bebot.

Lihat Komen
ADS