Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ: Atlet positif doping tak ambil dadah
Diterbitkan:  Oct 28, 2014 8:00 PM
Dikemaskini: 12:07 PM

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini menegaskan bahawa atlet tersohor negara yang didakwa positif ujian doping sampel A, tidak mengambil dadah.

    

Sebaliknya, beliau berkata semua pihak perlu faham bahan terlarang yang menyebabkan atlet kebangsaan itu positif ujian doping ialah dexamethasone iaitu sejenis ubat penahan sakit untuk kecederaan yang dialaminya.

    

"Atlet itu bukan 'penagih dadah', dia bukan suntik heroin atau pun mengambil ecstasy.

    

"Perkara ini melibatkan bahan-bahan dadah yang dipanggil dexamethasone," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat post-mortem Sukan Asia 2014 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

    

Difahamkan, Khairy berjumpa dengan atlet berkenaan hari ini dan tarikh untuk pembukaan sampel B akan dilakukan pada 4 atau 5 Nov ini, di sebuah makmal di Norway.

Dalam pada itu, Khairy masih enggan mendedahkan nama atlet dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terbabit yang didakwa positif ujian doping itu.

    

Sebelum ini, laporan media tempatan mendedahkan seorang atlet tersohor negara yang meraih pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa didapati gagal dalam ujian doping sampel A dan positif menggunakan bahan terlarang.

    

Insiden itu didakwa berlaku ketika pemain berkenaan beraksi dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos lepas.

    

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata bekas Ketua Pengarah Kejurulatihan BAM Morten Frost dari Denmark ditawarkan jawatan Pengarah Teknikal bagi sukan badminton negara.

    

Khairy berkata sekiranya Frost bersetuju, beliau boleh memulakan tugasnya pada Mac tahun depan.

    

"Perkara ini saya telah maklumkan kepada BAM bahawa ada keperluan untuk dilantik seorang pengarah teknikal. Dalam perbincangan saya dengan Frost tadi, beliau amat berminat untuk kembali semula ke Malaysia," katanya.

    

Frost pernah berkhidmat dalam sukan badminton tempatan dari 1997 hingga 2000 dan berjaya melahirkan pemain badminton ternama negara seperti Wong Choon Hann, James Chua dan Lee Tsuen Seng.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS